ANGGOTA APM menunjukkan ular yang ditangkap.
ANGGOTA APM menunjukkan ular yang ditangkap.

Padang Besar: Seorang lelaki yang hendak mengemas kawasan di belakang rumahnya terkejut apabila terserempak seekor ular tedung selar di Felda Mata Ayer, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 petang itu, tukang rumah, Sidek Morad, 18, ketika itu sedang mengemaskan bahagian belakang rumahnya dan terkejut melihat kehadiran reptilia itu.

Sidek berkata, dia terus memanggil rakan lain dan cuba memukul reptilia itu tetapi gagal.

“Saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Padang Besar untuk menangkap ular berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, jurucakap APM Perlis berkata, pihaknya tiba di lokasi itu jam 7.58 dan mendapati terdapat seekor ular tedung selar berukuran tiga meter sedang merayap di kawasan rumah berkenaan.

“Anggota APM mengambil masa 10 minit untuk menangkap reptilia itu.

“Ular yang ditangkap diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:57 AM