NAJIB bersama Prayut di Bangkok.
NAJIB bersama Prayut di Bangkok.
BERNAMA

Bangkok: Hubungan ‘tidak dapat dipisahkan’ antara Malaysia dan Thailand bakal dipereratkan lagi menerusi perundingan tahunan keenam yang baru berakhir di antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha.

Hubungan dua hala antara kedua-dua negara, yang berkongsi sempadan udara, laut dan darat, telah lama terjalin sejak hubungan diplomatik dipupuk 59 tahun lalu.

Najib, pada sidang media bersama-sama dengan Prayut pada akhir perundingan itu, berkata masa depan Malaysia dan Thailand, selaku jiran terdekat, saling berkaitan.

“Masa depan kedua-dua negara kita tidak dapat dipisahkan,” katanya dan menurutnya Kuala Lumpur dan Bangkok telah bersetuju untuk meningkatkan usaha dalam melaksanakan persetujuan yang dicapai pada perundingan itu.

Najib turut memetik ungkapan perdana menteri ketiga Malaysia, Tun Hussein Onn, bagi menggambarkan keakraban hubungan dua hala - seperti dua bersaudara yang minum air daripada telaga yang sama - yang disambut tepukan gemuruh oleh kalangan menteri dan pegawai kedua-dua negara.

Kedua-dua perdana menteri turut meminta menteri dan pegawai kerajaan masing-masing untuk saling bekerjasama dalam melaksanakan keputusan yang diambil pada perundingan itu.

Kedua-dua pemimpin juga menegaskan persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak pada perundingan itu perlu dilaksanakan segera untuk mencapai hasil yang diinginkan.

Perundingan tahunan pada tahun ini, yang diadakan di pusat pemerintahan Thailand, Rumah Kerajaan yang bersejarah, membabitkan dua teras – isu keselamatan dan ekonomi.

Delegasi Malaysia mengulangi komitmen negara untuk membantu Thailand mencapai keamanan dan kestabilan di wilayah selatan yang bergolak.

Kuala Lumpur, kata Najib, akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam proses damai antara Bangkok dan kumpulan militan atau rakyat Thailand merujuk kumpulan itu sebagai “pihak yang berbeza pandangan dengan kerajaan.”

“Kami mengulangi komitmen kami (Malaysia),” kata Najib, namun menurutnya konflik di selatan Thailand adalah hal ehwal dalaman Thailand dan peranan Kuala Lumpur untuk mencari penyelesaian terhadap masalah itu adalah berpandukan kepada garis panduan dan rangka kerja Bangkok.

Namun, katanya adalah penting untuk mewujudkan lebih banyak langkah membina keyakinan di selatan Thailand untuk meningkatkan kepercayaan antara pihak-pihak terbabit.

Malaysia juga akan menyediakan latihan vokasional untuk golongan belia di selatan dan membantu Thailand mendirikan sekolah-sekolah agama yang menggabungkan kecemerlangan akademik seperti diminta oleh Prayut, kata Najib.

Katanya Prayut dan beliau juga bersetuju untuk bekerjasama lebih erat lagi dalam menangani kegiatan keganasan, pemerdagangan manusia, jenayah rentas sempadan dan ekstremisme ganas yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Agensi keselamatan di Malaysia dan Thailand, katanya perlu bekerjasama rapat kerana “sesetengah pelaku (pengganas) bergerak di antara kedua-dua negara kita.”

Beliau berkata, perkongsian risikan oleh pasukan keselamatan kedua-dua negara perlu ditingkatkan lagi supaya individu yang disasarkan dapat ditangkap, diekstradisi dan diusir.

Bagi aspek ekonomi, selain menggesa pergiatkan usaha bagi meningkatkan perdagangan dua hala daripada AS$22 bilion setahun ketika ini kepada AS$30 bilion pada 2018, kedua-dua negara juga bersetuju untuk menyegerakan projek-projek yang akan mempermudahkan lagi pergerakan antara rakyat.

Najib dan Prayut bersetuju pembinaan jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Takbai dipercepatkan bagi membolehkannya siap pada pertengahan tahun depan daripada jadual asal pada 2018.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk menyegerakan projek pembesaran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, menekankan bahawa ia merupakan pintu masuk penting bagi perdagangan sempadan antara kedua-dua negara.

Satu lagi keputusan penting yang dapat meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan antara rakyat kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi ialah persetujuan untuk mengadakan kajian kemungkinan mengenai projek kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Bangkok.

Menurut Najib, projek itu, sekiranya mendapat persetujuan untuk dilaksanakan nanti, akan dapat merapatkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara serta meningkatkan lagi ekonomi mereka. Ia dilihat bakal melengkapi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:27 AM