Yeo (dua dari kiri) dan pegawai DBKK memecahkan pintu rumah tidak berpenghuni selepas mendapat perintah mahkamah buat pemeriksaan kebersihan di Taman Public Jaya, Likas.
Yeo (dua dari kiri) dan pegawai DBKK memecahkan pintu rumah tidak berpenghuni selepas mendapat perintah mahkamah buat pemeriksaan kebersihan di Taman Public Jaya, Likas.

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendapatkan perintah mahkamah untuk melakukan pemeriksaan terhadap 52 kediaman di Taman Public Jaya, Likas, di sini, di mana pemiliknya tidak membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemeriksaan di kediaman mereka.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata, ia untuk memastikan rumah di taman perumahan yang juga tempat tinggal lelaki berusia 61 tahun yang disahkan menghidap Zika minggu lalu bebas daripada tempat pembiakan aedes yang juga vektor denggi serta Zika.

“Pada masa sama, operasi berterusan dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya kawasan terbabit bebas sepenuhnya daripada ancaman aedes,” katanya selepas menyertai operasi pemeriksaan di Taman Public Jaya, semalam.

Difahamkan, ada 52 pemilik kediaman yang tidak membenarkan premis mereka diperiksa PBT menyebabkan DBKK memohon perintah mahkamah untuk berbuat demikian.

Pada masa sama, ada di antara rumah berkenaan tidak berpenghuni.

Sementara itu, 10 daripada 52 rumah terbabit diperiksa DBKK pagi semalam dengan tumpuan diberi terhadap kawasan yang menakung air seperti tandas, bilik air, pasu bunga dan botol kosong.

Yeo berkata, pemeriksaan dalam rumah mendapati tiada jentik-jentik dijumpai.

“Baki rumah akan diperiksa secara berperingkat,” katanya.

Pada 2 September lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia menerima laporan jangkitan virus Zika tempatan pertama di negara ini membabitkan lelaki yang menetap di Taman Public Jaya.

Pesakit itu meninggal dunia sehari kemudian akibat masalah jantung.

Tinjauan Harian Metro di sekitar kawasan terbabit mendapati persekitaran bersih daripada sampah-sarap berikutan penduduk mengadakan gotong-royong sejak beberapa hari lalu.

Berkaitan masalah sampah dan longkang tersumbat, selain kawasan kejiranan kotor, orang ramai boleh melaporkannya kepada DBKK menerusi talian 088-210011 (waktu pejabat) atau aplikasi ‘WhatsApp’ di 010-2222000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:22 AM