PASUKAN perubatan memeriksa keadaan mangsa. FOTO ihsan bomba
PASUKAN perubatan memeriksa keadaan mangsa. FOTO ihsan bomba
Omar Osman


Sungai Petani: Seorang pemandu lori kontena maut apabila kepalanya terhentak pada besi penghadang jalan selepas terjun dari kenderaan itu akibat hilang kawalan dalam kemalangan di susur masuk Plaza Tol Sungai Petani Selatan, di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.45 petang menyebabkan mangsa Mohd Zaki Talib, 51, beralamat di Kampung Baru, Penaga, Pulau Pinang mati serta merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan, lori berkenaan dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang ke Sungai Petani dengan membawa muatan plastik.

Bagaimanapun, sebaik memasuki susur masuk Plaza Tol Sungai Petani Petani Selatan, lori yang dipandu lelaki itu terbabas lalu melanggar penghadang besi, dan mangsa yang dipercayai panik bertindak terjun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, namun ketika terjun keluar dari lori berkenaan, kepala mangsa terkena pada penghadang besi sebelah kanan jalan lalu jatuh ke dalam longkang.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, utuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:55 PM