Ahmad Hashim (dua dari kiri) bersama tiga anaknya.
Ahmad Hashim (dua dari kiri) bersama tiga anaknya.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Wajah ayah sangat terkejut ketika kami memberikan kunci kereta BMW520i untuk dipandu,” kata Firdaus Ahmad, 34, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang diberikan hadiah kereta mewah sehari sebelum berangkat ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.

Kisah pasangan suami isteri itu, Ahmad Hashim, 58, dan Ustaniah Bustami, 58, menjadi viral di laman sosial apabila dihadiahkan kereta mewah berharga RM320,000 oleh tiga anak lelakinya itu, baru-baru ini.

Firdaus berkata, perancangan itu dilakukan lebih sebulan bersama dua adiknya iaitu Saiful Aswad, 30, dan Taufiq, 26, sekali gus merealisasikan impian bapanya untuk memandu kereta itu.

“Ayah sangat suka kereta BMW dan sudah menjadi hasrat kami tiga beradik untuk membelinya,” katanya.

Dia yang mempunyai perniagaan insurans berkata, Sabtu lalu walaupun agak kelam-kabut dengan kenduri doa selamat di rumah keluarga namun mereka perlu menunjukkan hadiah itu kepada bapanya.

“Disebabkan itu kami memberitahu bapa perlu menandatangani satu dokumen penting bagi pihak adik di Ipoh, Perak.

“Bapa pada mulanya berat hati berikutan kepenatan ketika kenduri berlangsung di rumah, namun demi anak-anak dia sanggup berkorban dan bersetuju ke Ipoh dari rumah kami di Tanjung Malim,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di ruang pameran BMW, bapa mereka yang juga pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada mulanya hairan dan meminta menunjukkan dokumen untuk ditandatangani berikutan kesuntukan masa.

“Saya terus mengeluarkan kunci kereta kepada ayah dan meminta dia pandu uji.

“Ayah pada mulanya terpinga-pinga dan tidak percaya sebelum kami meminta dia melihat nombor pendaftaran kereta yang sama dengan kereta sebelum ini,” katanya.

Katanya, sepanjang hidup mereka, bapa tidak pernah membeli kereta baharu dan semuanya kereta terpakai.

“Bagi ayah kereta jenis apa pun tidak penting asalkan keluarga cukup makan pakai dan anak ada duit untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, hal inilah menyebabkan dia begitu teringat jasa bapa yang sanggup berkorban apa saja demi mereka tiga beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:54 AM