Elya Susanti Ab Rakit
Elya Susanti Ab Rakit
ELYA Susanti   menyambut kepulangan anaknya dari sekolah di rumah mereka di Taman Samudera, Batu Caves.
ELYA Susanti menyambut kepulangan anaknya dari sekolah di rumah mereka di Taman Samudera, Batu Caves.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Batu Caves: “Saya bersyukur Allah memakbulkan doa dengan menyembuhkan sedikit penyakit saraf yang saya hidapi.

“Keadaan saya bertambah baik jika dibandingkan ketika Ramadan lalu dan sekarang sudah boleh berjalan tetapi dengan bantuan tongkat,” kata Elya Susanti Ab Rakit, 45.

Elya Susanti adalah ibu kepada lima beradik yang berkongsi mi segera ketika bersahur dan berbuka puasa disebabkan dia terlantar di Hospital Pakar al-Islam, Kampung Baru akibat masalah saraf.

Kisah lima beradik yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu menarik perhatian ramai selepas menjadi viral di laman sosial serta pernah disiarkan di Harian Metro pada 28 Jun dan 1 Julai lalu.

Susulan itu, ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan termasuk Kelab Sukan dan Rekreasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Tabung Kemanusiaan Media Prima bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.

Ibu tunggal itu berkata, dia disahkan menghidap penyakit saraf sejak September tahun lalu dan sepanjang tempoh berkenaan, sudah lima kali dimasukkan ke Hospital Pakar al-Islam.

“Kali terakhir dimasukkan ke hospital pada 21 Jun lalu selama 14 hari dan menjalani pembedahan pada lutut kanan, kedua-dua tapak tangan bagi membetulkan saraf, pinggul kanan serta suntikan pada lutut kiri.

“Saya dibenarkan keluar hospital pada 3 Julai lalu dan kini sedang menjalani rawatan fisioterapi di hospital berkenaan. Alhamdulillah, hasil rawatan ini saya sudah boleh berjalan walaupun menggunakan bantuan tongkat,” katanya yang menetap di Taman Samudera.

Menurutnya, berpisah dengan anak-anak selama 14 hari kerana menjalani rawatan di hospital adalah pengalaman paling sukar dalam hidupnya kerana mereka tidak pernah berjauhan sebelum ini.

“Ada beberapa kali semasa dalam rawatan, saya minta kebenaran daripada pegawai perubatan untuk pulang ke rumah kerana rindu dan bimbang dengan keselamatan mereka,” katanya.

Kakitangan sebuah bank di ibu kota itu berkata, dia tidak menyangka di sebalik ujian yang menimpanya, terdapat hikmah untuk keluarganya di mana dia tidak keseorangan dalam menempuh kesusahan hidup.

“Sejak kisah kami disiarkan dan sehingga ke hari ini, kami tidak putus menerima bantuan sama ada berbentuk barangan dan kewangan daripada pelbagai pihak.

“Terima kasih kepada pihak yang membantu dan saya berharap dapat pulih segera seperti sedia kala kerana mahu kembali bekerja serta menjaga anak-anak. Saya mahu mengembalikan kegembiraan keluarga ini yang hilang sejak saya jatuh sakit,” katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Nur Alya Dayana Muhammad Nadzri, 12, berkata, dia gembira apabila ibunya keluar dari hospital dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Semasa mama di hospital, saya yang uruskan adik-adik. Memang susah lebih-lebih lagi apabila perlu memujuk mereka menangis kerana terlalu merindui mama.

“Saya rindu masakan mama terutama rendang daging dan nangka. Kedua-dua menu ini adalah makanan kegemaran kami adik-beradik,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:18 AM