MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (duduk lima dari kiri) bersama  Adiwijaya  (duduk enam dari kiri)  bersama pemimpin tertinggi PSSGM.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (duduk lima dari kiri) bersama Adiwijaya (duduk enam dari kiri) bersama pemimpin tertinggi PSSGM.
 ADIWIJAYA  beramah mesra dengan anak-anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Yatim Piatu 2016.
ADIWIJAYA beramah mesra dengan anak-anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-Anak Yatim Piatu 2016.
  PESERTA termuda, Ahmad Taufiq Dzulfahmy membuat demonstrasi mempertahankan diri.
PESERTA termuda, Ahmad Taufiq Dzulfahmy membuat demonstrasi mempertahankan diri.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Seorang yang panas baran berubah kepada lelaki lemah lembut dan bersopan santun. Itu penangan seni silat yang mampu mengawal sifat marah individu supaya tidak mencederakan orang lain atau melakukan perkara di luar dugaan.

Malah, seni silat yang dipelajari Abdul Mustafa Isa, 28, berasal dari Ampang, Selangor juga mengajarnya supaya lebih menghormati individu lain dan sentiasa merendah diri selain tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama.

Sejak mempelajari Seni Silat Gayong, kehidupan Abdul Mustafa berubah sepenuhnya daripada individu yang dianggap gengster atau kaki pukul kepada belia yang berwawasan.

“Jika diimbas kembali ketika kehidupan saya pada awal remaja memang banyak terbabit dalam kegiatan samseng kerana percaya tindakan itu menyebabkan orang lain tunduk dan takut kepada kita.

“Sifat yang cepat ‘panas’ dengan gemar memukul orang lain tanpa usul periksa juga mempengaruhi karakter saya sebagai samseng,” katanya ketika ditemui di sini.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, hatinya terdetik untuk menyertai Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) selepas melihat ahlinya melakukan aksi mempertahankan diri pada majlis keraian.

“Seni mempertahankan diri yang dipamerkan itu sungguh unik menyebabkan saya tertarik untuk mempelajarinya sebelum seorang rakan memperkenalkan kepada guru silat berkenaan.

“Namun, guru terbabit seakan-akan mengetahui tujuan saya iaitu mempelajarinya semata-mata untuk ‘membelasah’ individu lain menyebabkan dia menyuruh pulang saja atau memperbetulkan niat asal,” katanya.

Menurutnya, hampir setiap hari dia memujuk guru berkenaan untuk mengambilnya sebagai anak murid, malah turut berjanji akan berubah dengan tidak lagi menggunakan kekerasan terhadap individu lain.

“Guru silat berkenaan akhirnya menerima saya sebagai anak muridnya namun dengan syarat bahawa dia sendiri akan membelasah saya jika didapati menggunakan seni mempertahankan diri itu untuk menganiayai pihak lain.

“Hampir setahun saya belajar dan apa yang saya lihat seni silat ini boleh membentuk sahsiah diri kerana mempunyai pantang larang tertentu malah mengikis sifat panas baran serta sombong seseorang supaya sentiasa merendah diri,” katanya.

Katanya, PSSGM bukan saja pertubuhan yang mengajar individu untuk mempertahankan diri namun ia juga sering terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan dengan membantu golongan memerlukan.

“Menerusi aktiviti yang dilakukan PSSGM juga memberi kesedaran supaya sentiasa membantu serta melindungi insan lemah dan bukannya mengambil kesempatan terhadap mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 9:23 AM