MAHMUD menyampaikan duit raya kepada si cilik.
MAHMUD menyampaikan duit raya kepada si cilik.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Kuantan: “Selepas empat tahun tanpa pakaian baru untuk menyambut lebaran, hari ini (semalam) adalah saat paling menggembirakan anak kerana dapat memilih sendiri baju baru untuk digayakan nanti.

“Alhamdulillah, tahun ini anak-anak dapat beraya dengan baju baru berbanding sebelum ini hanya mengenakan pakaian lama dan terpakai sumbangan jiran dan saudara-mara,” kata Rosmiza Aida Abu Bakar, 41.

Suri rumah dari Perkampungan Cenderawasih, di sini berkata, panggilan telefon daripada pihak Yayasan Pahang (YP), petang semalam (kelmarin) membuatkan anak teruja dan tidak sabar pergi ke pasar raya.

“Tercapai juga hasrat mereka yang terlalu ingin memiliki sepasang baju baru dan tidak lagi malu untuk berhari raya dengan rakan mereka.

“Saya sendiri terkejut apabila dihubungi pihak Yayasan Pahang memaklumkan anak-anak saya terpilih dibawa membeli pakaian raya,” katanya.

Seramai 15 kanak-kanak daripada empat keluarga asnaf sekitar daerah ini dibawa membeli pakaian baru oleh Kelab Kebajikan YP sebagai persediaan menyambut hari raya bernilai RM200 seorang di pasar raya Parkson Berjaya Megamall, di sini, semalam.

Selepas membeli-belah, keluarga terbabit dibawa bertemu dan beramah mesra dengan Pengurus Besar YP, Datuk Mahmud Mohd Nawawi yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper raya di Kompleks YP, Tanjung Lumpur, di sini.

Rosmiza yang juga ibu kepada enam anak berusia antara satu hingga 19 tahun berkata, dia tidak mampu menyediakan pakaian baru kerana suaminya, Mohamad Syahran Othman, 43, hanya bekerja kampung dengan upah tidak menentu antara RM50 hingga RM60 saja.

“Jika dipanggil kerja dapatlah upah jika tidak, kami hanya bergantung kepada anak kedua, Nur Syahidatul Nadiera, 18, yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya berdekatan.

Baru-baru ini, kisah hidup Rosmiza yang serba susah itu diviralkan di laman sosial Facebook menyebabkan dia terkejut apabila ada jiran dan individu tidak dikenali datang menghulurkan bantuan kewangan serta barangan keperluan dapur.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 7:12 AM