Mohd Hasbi Sidek dan Icka S Hassan

Klang : Kegembiraan menyambut Deepavali yang tinggal beberapa hari lagi jelas terpancar pada wajah 40 kanak-kanak miskin termasuk anak yatim yang terpilih menerima sumbangan sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Khas Deepavali, sebaik tiba di gedung fesyen terkemuka untuk membeli persalinan baru.

Bagi A Dineswary, 14, terpilih sebagai penerima bagi program amal Harian Metro itu adalah hadiah perayaan Diwali paling indah buatnya.

Katanya, selepas bapanya tidak dapat bekerja kerana sakit, dia yang mempunyai tujuh beradik pada mulanya menyangka tidak akan dapat bergaya dengan pakaian baru kerana tidak mampu membelinya.

“Sebaik diberitahu ibu yang saya akan pergi membeli baju baru hari ini (semalam), saya sangat bersyukur kerana angan-angan untuk menyambut perayaan seperti rakan lain tercapai.

“Saya sangat berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi membantu dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima S Sathia, 12, dia berasa sangat teruja apabila berpeluang membeli pakaian baru bersama rakan dan hanya ucapan terima kasih yang mampu diucapkan kepada Harian Metro.

“Deepavali kali ini bagaikan memberi sinar baru buat saya kerana berpeluang merasai pakaian baru setelah selain lama memendam rasa.

“Memandangkan bapa hanya kerja kilang, kami sekeluarga menyambut Deepavali dalam keadaan ringkas saja, walaupun ada niat mahu mengajaknya pergi membeli baju tetapi saya tidak sampai hati,” katanya.

Program TKHM Khas Deepavali yang berlangsung semalam menyaksikan seramai 40 kanak-kanak miskin dan anak yatim dibawa membeli pakaian raya di Chennai Silk Palace, Little India, di sini manakala 40 keluarga miskin diberikan sumbangan barang-barang keperluan harian berserta hamper bagi meringankan beban mereka menyambut perayaan Deepavali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:11 AM