KREN di tapak pembinaan jejambat  Jalan Pahang tumbang menghempap kenderaan.
KREN di tapak pembinaan jejambat Jalan Pahang tumbang menghempap kenderaan.
myMetro

Kuala Lumpur: Puluhan penumpang bas cemas apabila kenderaan awam dinaiki mereka dihempap sebuah kren pembinaan jejambat seberat lebih 10 tan di Jalan Pahang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, semua penumpang bas bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, kren itu turut menghempap dua kereta lain.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan daripada pengguna jalan raya berhubung kejadian itu pada jam 7.15 malam.

“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebuah kren di kawasan pembinaan jejambat berhampiran lampu isyarat stesen minyak di Jalan Pahang, tumbang dan menghempap sebuah bas, kereta Proton Putra dan kereta Produa Myvi.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada mangsa yang mengalami kecederaan.

“Kren berkenaan hanya menghempap kenderaan. Bomba kemudiannya membantu mengawal keadaan sebelum kren itu dipindahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 7:13 AM