Rozali  (tiga dari kiri)  bersama pelajar Kelab Usahawan Muda Universiti  sempena Bengkel Usahawan Generasi Felda dan Majlis Pelancaran Jejak Usahawan Muda di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam.
Rozali (tiga dari kiri) bersama pelajar Kelab Usahawan Muda Universiti sempena Bengkel Usahawan Generasi Felda dan Majlis Pelancaran Jejak Usahawan Muda di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam.
Ayusliza Azizan

Shah Alam: Ganjaran dana RM100,000 sebagai modal memulakan perniagaan akan diberikan kepada pemenang program Jejak Usahawan Muda yang terdiri daripada anak peneroka FELDA.

Program itu dibuka penyertaannya kepada graduan terutama anak peneroka yang mempunyai keinginan menceburi dunia perniagaan.

Pengerusi Kluster Ekonomi dan Keusahawaan, Gabungan Pemikir Profesional FELDA (GAPROF) Tan Sri Rozali Ismail berkata, pihaknya melancarkan program itu bagi memberi peluang kepada anak peneroka yang meminati bidang berkenaan.

“Kita mempunyai banyak peluang perniagaan namun masih tiada pihak yang benar-benar layak untuk menjalankannya.

“Justeru, kita mencari dan melantik anak peneroka dari setiap universiti di negara ini menerusi bimbingan mentor berkelayakan serta berjaya dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Usahawan Generasi Felda di sini, semalam.

Bengkel itu bertujuan menjana idea dan sarana bagi memperkasakan kemajuan FELDA melalui usaha kompilasi idea dan sinergi ilmu khususnya dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan.

Ia menampilkan panel jemputan berwibawa antaranya Ketua Eksekutif Syarikat FELDA Palm Industri Sdn Bhd Datuk Jamlus Ab Aziz dan Pengarah Jabatan Keusahawanan FELDA Datuk Amir Hamdan bagi berkongsi pengalaman serta tip rahsia perniagaan.

Menurut Rozali, GAPROF turut melancarkan Kelab Usahawan Muda Universiti yang membabitkan penyertaan daripada penuntut dan kakitangan institut pengajian tinggi (IPT).

Kata beliau, kedua-dua program itu antara usaha melahirkan generasi FELDA berkebolehan dalam urusan perniagaan dan mampu bersaing dengan usahawan luar yang berjaya.

“Menerusi bimbingan seumpama ini, semua peserta diharap memahami segala ilmu dan kemahiran keusahawanan yang diberikan supaya boleh digunakan dalam dunia perniagaan sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 7:14 AM