MOHD Redzuan  ketika mengunjungi gerai pameran yang dihasilkan usahawan di Konvenyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek. FOTO Zulkepli Osman
MOHD Redzuan ketika mengunjungi gerai pameran yang dihasilkan usahawan di Konvenyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek. FOTO Zulkepli Osman
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Kementerian Pembangunan Usahawan berusaha meningkatkan sumbangan usahawan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ketika ini di bawah 10 peratus.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, jumlah 10 peratus itu masih rendah berbanding jumlah keseluruhan KDNK yang dianggarkan RM1.3 trilion dan ia menjadi cabaran kepada kementerian untuk meningkatkan peratusan berkenaan.

“Bagaimanapun, tidak mustahil peratusan ini boleh bertambah pada masa akan datang jika perancangan serta hala tuju lebih jelas dapat dilaksanakan oleh semua pihak.

“Sebab itu kita akan memberi fokus kepada meningkatkan sumbangan usahawan bumiputera kepada KNDK. Kita ada perancangan untuk meningkatkan peratusan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah.

Seramai 1,000 usahawan sekitar Pahang menyertai konvensyen ini yang tertujuan memberi peluang kepada mereka untuk bertukar pandangan dan mengemukakan pelbagai idea baharu kepada Kementerian Pembangunan Usahawan melalui sesi dialog.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, peratusan rendah itu bukan salah kerajaan dahulu tetapi disebabkan dasar ditetapkan tidak dilaksanakan dengan baik.

“Menerusi peluang yang ada, kerajaan akan membantu usahawan Bumiputera melonjakkan diri dalam perniagaan diceburi contohnya menerusi industri halal yang mana usahawan Bumiputera mempunyai kepakaran.

“Sebab itu, usahawan Bumiputera perlu lebih berani berdaya saing untuk mempelajari dan seterusnya menembusi peluang pasaran antarabangsa seperti produk makanan halal ke Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 11:02 AM