MUSTAPA  (dua dari kiri) diiringi Ahmad Razif  (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Hab PKS Bergerak sempena Minggu PKS di TTC, semalam.
MUSTAPA (dua dari kiri) diiringi Ahmad Razif (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Hab PKS Bergerak sempena Minggu PKS di TTC, semalam.

Helmy Abd

Kuala Terengganu: Kira-kira 1,500 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini bakal dikenal pasti untuk disenaraikan di AliBaba.com, portal e-dagang gergasi dunia milik bilionair China Jack Ma menjelang akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, proses pemilihan akan dilakukan SME Corporation Malaysia (SME Corp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bermula 1 Oktober ini.

“1,500 PKS di seluruh negara yang layak dan mempunyai produk yang pelbagai akan dipilih untuk disenaraikan di AliBaba.com yang akan menggunakan platform pemasaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Kementerian saya optimis pelaburan Kumpulan AliBaba mampu menjadi pemangkin yang penting bagi melonjakkan pencapaian PKS di negara ini untuk menembusi pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Minggu PKS 2017 peringkat kebangsaan yang bermula pada 4 Mei hingga 26 Mei di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengerusi SME Corp Tan Sri Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, proses merangka akta untuk memperkasakan PKS kini memasuki peringkat akhir dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang akan datang.

“Akta ini akan membangunkan PKS dengan lebih teratur terutamanya dalam pengumpulan data,” katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan Hab PKS Bergerak yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memudahkan rakyat berurusan dengan SME Corp.

Terengganu dipilih tuan rumah bagi Pelancaran Minggu PKS peringkat kebangsaan 2017.

Bertemakan ‘Mula Berdikit, Azam Melangit’, program tahunan anjuran SME Corp itu menyasarkan untuk menarik lebih ramai usahawan dan orang ramai untuk mendapatkan manfaat daripada bantuan dan sokongan perniagaan serta khidmat nasihat berkaitan perniagaan bagi membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 1:35 AM