ANTARA kuda yang diselamatkan dalam kejadian malam kelmarin.
ANTARA kuda yang diselamatkan dalam kejadian malam kelmarin.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Seorang pemandu lori yang membawa enam kuda lumba sebuah kelab berjaya menyelamatkan diri dan haiwan yang dibawanya selepas kenderaan berat dinaiki terbakar secara tiba-tiba di Kilometer 185, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran Alor Pongsu, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, pemandu berusia 45 tahun itu bertindak menghentikan kenderaannya dan membawa keluar semua kuda berkenaan dari ruangan kabin di bahagian belakang yang kemudian terbakar keseluruhannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Abdul Nasir Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.07 malam dan ke lokasi kejadian dengan sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba (PB), Zulkifli Baharom.

Menurutnya setibanya di lokasi, pihaknya segera memadamkan kebakaran berkenaan menggunakan dua hos aliran air dari tangki jentera.

“Kebakaran memusnahkan 80 peratus bahagian kabin membawa kuda berkenaan dan api berjaya dipadamkan dalam tempoh kurang setengah jam.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat pada jam 12.23 tengah malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 7:13 AM