TENTERA Malaysia dan Australia yang menyertai Eksesais Haringgaroo siri 67/2016 di majlis perasmian di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.
TENTERA Malaysia dan Australia yang menyertai Eksesais Haringgaroo siri 67/2016 di majlis perasmian di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.
CATTEL sudah tiga kali menjejakkan kaki di negara ini.
CATTEL sudah tiga kali menjejakkan kaki di negara ini.
SHAHARIN berhijrah ke Australia sejak 2011 dan menyertai pasukan pertahanan negara itu pada tahun kedua dia di sana.
SHAHARIN berhijrah ke Australia sejak 2011 dan menyertai pasukan pertahanan negara itu pada tahun kedua dia di sana.
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Kedua-duanya boleh bertutur dan memahami bahasa Melayu dengan baik, namun ada sesuatu yang membezakan dua anggota Tentera Darat Australia ini.

Seorang daripadanya adalah anak kelahiran Kemunting, Perak yang kini memiliki kerakyatan Australia, manakala seorang lagi anak jati negara kangaru itu tetapi gigih belajar bahasa Melayu.

Mereka berdua kini berada di negara ini atau khususnya di Kelantan kerana menyertai “Malaysian Australian Joint Defence Programme (MAJDP)” dikenali Eksesais Haringgaroo Siri 67/2016 yang berlangsung selama seminggu bermula semalam.

Prebet Shaharin Abdullah, 29, berhijrah ke Australia sejak 2011 dan menyertai pasukan pertahanan negara itu pada tahun kedua dia di sana.

“Sudah lima tahun saya berhijrah tetapi baru kali ini saya dapat pulang ke Malaysia. Selain bermanfaat untuk perkongsian ilmu ketenteraan, program ini ibarat ‘menyatukan’ saya dengan Malaysia.

“Banyak perkara yang saya rindukan mengenai Malaysia. Tak mungkin saya lupakan negara tanah tumpah darah saya walaupun saya berhijrah dan menjadi rakyat Australia.

“Sebab itu saya tidak teragak-agak menerima tawaran ini dan bersedia kembali lagi sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Eksesais Haringgaroo Siri 67/2016 di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini, semalam.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu juga memberitahu minat menjadi tentera sudah lama tertanam dalam dirinya terutama apabila bapanya juga seorang bekas perajurit.

Katanya, dia menjalani temu duga ketenteraan selepas melihat iklan dipaparkan dalam akhbar dan tidak menyangka terpilih untuk menyarung seragam TDA.

“Keluarga orang paling gembira apabila mendapat tahu saya menjadi tentera. Walaupun berbeza kerakyatan, kami berkongsi semangat sama iaitu berbakti untuk rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Koperal Teska Cattel, 27, yang fasih berbahasa Melayu berkata, dia gembira dan teruja dapat menyertai Eksesais Haringgaraoo di Malaysia.

“Ini kali ketiga saya ke negara ini. Kunjungan sebelum ini kerana saya bercuti bersama rakan dan kali ini saya datang untuk bertugas.

“Saya suka Malaysia dan makanannya seperti nasi lemak, ais kacang dan bubur cacar,” katanya.

Katanya disebabkan minat itu maka dia belajar bahasa Melayu dan kini cuba menguasainya sejak tahun lalu.

“Di Australia, saya menyertai kelas bahasa yang diajar guru dari Malaysia yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari dan peluang berada di sini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk mempraktik apa yang saya pelajari di kelas supaya lebih mudah berkomunikasi ketika kami menjalani latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:15 AM