HAMZAH (dua kiri) dalam majlis serah cek zakat SSM, semalam.
HAMZAH (dua kiri) dalam majlis serah cek zakat SSM, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Peniaga dalam talian termasuk peniaga sambilan atau ‘one off’ perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum penghujung Disember ini kerana penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dilaksanakan bermula Januari depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya kini merangka peraturan memastikan penguatkuasaan lebih ketat termasuk hukuman penjara bagi memastikan peniaga dalam talian mengikut saluran undang-undang disediakan.

Katanya, meskipun hanya menjual satu barangan seperti telefon secara dalam talian, peniaga sambilan harus mendaftar dengan SSM untuk mendapatkan kelulusan sementara sebelum diberi tempoh masa tertentu.

“Masa yang diberikan itu adalah tempoh yang dibenarkan untuk menjual barangan terbabit dan perlu mengemukakan permohonan baru sekiranya ia masih gagal dijual.

“Penguatkuasaan itu dilakukan menerusi akta yang diluluskan bagi memastikan hak pengguna terjamin.

“Langkah itu mengelakkan penipuan dan pada masa yang sama menggalakkan peniaga mendaftar perniagaan masing-masing,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pengagihan Zakat SSM di ibu negara, semalam

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan kerajaan mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian bermula tahun depan, Hamzah menjelaskan semua itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Namun kata beliau, semua peniaga secara kewajipannya perlu membayar cukai dan jumlahnya ditentukan menerusi kaedah yang disediakan kementerian berkenaan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:21 AM