AHMAD Zahid diiringi Musa Aman menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2016 kepada Dr Ahamad Sipon pada Sambutan Hari Guru ke-45 Peringkat Kebangsaan di Dewan Canselori Universiti Malaysia Sabah, semalam.
AHMAD Zahid diiringi Musa Aman menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2016 kepada Dr Ahamad Sipon pada Sambutan Hari Guru ke-45 Peringkat Kebangsaan di Dewan Canselori Universiti Malaysia Sabah, semalam.
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja mahir dalam bidang vokasional bagi memacu pembangunan negara menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa mahu mengoptimumkan kemahiran rakyat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja luar.

“Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, kita boleh bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja tempatan dan diberi gaji secukupnya bagi membolehkan mereka menyumbang kepada negara.

“Justeru, penghasilan tenaga berkemahiran ini perlu dimulakan pihak sekolah dalam melahirkan pelajar cemerlang dan berkebolehan bagi memenuhi keperluan sektor pekerjaan pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru ke-45 Peringkat Kebangsaan di Dewan Canselori Universiti Malaysia Sabah, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II Chong Sin Woon, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Ahmad Zahid berkata, kebergantungan kepada tenaga luar bagi memenuhi keperluan industri di negara juga dilihat mendatangkan kesan negatif secara fizikal dan bukan fizikal termasuk penularan penyakit berjangkit antaranya batuk kering dan kusta.

Menurutnya, guru sering diibaratkan patriot pahlawan bangsa, pembimbing dan pembina negara dalam mendidik rakyat tempatan.

“Jasa guru tidak harus dizahirkan dalam bentuk ucapan atau majlis keraian semata-mata, sebaliknya disertai skima perkhidmatan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya berharap kementerian dapat mengkaji semula skima perkhidmatan guru bagi menghargai jasa mereka yang tidak pernah kenal penat lelah untuk berbakti kepada nusa dan bangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 9:51 AM