Halimah  menyampaikan sijil penarafan lima bintang kepada  Mohamad Mentek pada perhimpunan bulanan KPKT,  semalam.
Halimah menyampaikan sijil penarafan lima bintang kepada Mohamad Mentek pada perhimpunan bulanan KPKT, semalam.
Hayati Ibrahim

Putrajaya: Sebanyak 1,099 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) diperiksa sepanjang empat siri Ops Sejahtera Komuniti yang dilaksanakan di seluruh negara sejak Mac lalu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, operasi itu diadakan di PPR Jalan Segindai Papar Sabah, PPR Jalan Pudu Ulu Kuala Lumpur, PPR Taman Dahlia Langkawi Kedah dan PPR Taman Sri Stulang Johor.

Katanya, operasi yang dilaksanakan secara bersepadu itu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama penguatkuasaan iaitu penyewaan kepada pihak ketiga, tunggakan bayaran sewa dan penyalahgunaan unit rumah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 377 unit PPR didapati mempunyai sewa tertunggak, manakala 68 unit lagi disewakan kepada pihak ketiga.

“Operasi ini akan diteruskan bagi memastikan rumah yang disediakan kerajaan benar-benar diberikan kepada yang berhak memiliki dan tindakan tegas termasuk notis peringatan dan penamatan akan diberikan kepada penyewa yang ingkar,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Menteri dan Timbalan Menteri KPKT bersama warga kementerian di sini, semalam

Teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohamad Mentek dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Mohd Noor Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kumpulan pertama 100 pemohon Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) dijadual menerima bantuan berkenaan akhir bulan ini.

Katanya, sehingga kini 3,501 permohonan sudah diterima dan diproses Jabatan Perumahan Negara (JPN).

MyDeposit yang dilancarkan pada 6 April lalu, inisiatif kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM10,000 memiliki kediaman pertama mereka.

Selain itu, beliau berkata, 200 program disusun pelaksanaannya secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2018 termasuk lapan program berimpak tinggi yang digagaskan melalui Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 9:35 AM