Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Asrizal Aris

PUSAT Komunikasi Satelit Angkatan Tentera Malaysia Kem Paya Jaras, Sungai Buloh.

Sungai Buloh: Dalam memastikan ruang angkasa negara kekal utuh dan terpelihara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tampil dengan inovasi satelit komunikasi canggih bertujuan menghantar segala data dalam masa singkat dan berkesan.

Satelit komunikasi dengan spesifikasi X-Band itu dimiliki ATM bagi memudahkan penghantaran gambar, visual dan audio terutama di kawasan operasi dengan efektif selain meningkatkan keupayaan kuasa tempur pertahanan negara.

Atas inisiatif itu juga, Pusat Komunikasi Satelit (PKS) ATM diwujudkan sebagai pusat kawal selia satelit komunikasi pertama angkatan tentera itu.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, PKS ATM beroperasi membabitkan dua bahagian iaitu di ruang angkasa dan permukaan bumi.

Menurutnya, segala data diambil melalui satelit di angkasa dan disalurkan di pusat kawalan ATM di bumi.

“Sebelum ini kami menggunakan satelit jenis C-Band dan KU-Band yang disewa melalui syarikat korporat, namun hari ini ATM memilikinya sendiri. Biarpun ia turut disewakan, tapi satelit ini berbeza dengan pemilikan terdahulu.

“Dengan wujudnya PKS ATM dan satelit ini, ia secara langsung melengkapkan pelan empat dimensi ATM yang memfokuskan kepada permukaan darat dan laut, dasar laut, udara serta ruang angkasa,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan PKS ATM, di Kem Paya Jaras, di sini, semalam.

Beliau berkata, satelit komunikasi itu mampu beroperasi dari 15 hingga 20 tahun dengan baik serta turut diselia 11 pegawai dan 50 anggota lain-lain pangkat dari tiga cabang perkhidmatan ATM.

Zulkifeli turut menafikan penggunaan satelit komunikasi itu bagi tujuan perisikan sebaliknya memudahkan penghantaran dan perkongsian maklumat ATM melalui operasi di dalam dan luar negara.

“Pemilikan satelit ini juga menjimatkan perbelanjaan kerajaan berbanding penggunaan satelit sebelum ini,” katanya.

Katanya, satelit jalur lebar itu berkapasiti 150MHZ dan disewa selama 15 tahun dari Januari 2015 hingga Disember 2029.

Beliau turut bercadang untuk meluaskan lagi pemilikan satelit itu kepada tiga cabang perkhidmatan lain iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:37 AM