MEGAT Mohd Aminuddin menunjukkan kenderaan SUV yang berjaya ditemui semula.
MEGAT Mohd Aminuddin menunjukkan kenderaan SUV yang berjaya ditemui semula.
myMetro

Serdang: Selepas 10 hari, seorang ahli perniagaan mendapat semula kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 berharga kira-kira RM140,000 miliknya yang dilarikan penjenayah di sekitar Sungai Besi Indah di sini, 24 April lalu.

Polis menemui semula Mazda CX5 berkenaan di Jalan Kasturi, Cheras selepas menahan dua suspek, jam 5.30 pagi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, terdahulu, mangsa berusia 40-an ditolak sehingga jatuh oleh seorang lelaki yang masuk ke dalam SUV berkenaan sebaik mangsa juga masuk.

“Mangsa cedera di muka dan tangan selain wang tunai RM7,000 juga pasport miliknya dilarikan suspek. Mangsa kemudian membuat laporan berkaitan kejadian terbabit.

“Pada jam 11 malam Rabu lalu, kami melakukan rondaan di Batu 11, Kajang sebelum terserempak dengan Proton Saga FLX dalam keadaan mencurigakan. Sebaik dihampiri, suspek memecut dari situ. Dalam usaha meloloskan diri, suspek turut melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan,” katanya, semalam.

Menurut beliau, pada jam 5.30 pagi keesokan harinya, pihaknya dapat mengesan suspek yang bersembunyi di sekitar Bandar Damai Perdana, Kuala Lumpur.

Megat Mohd Aminuddin berkata, suspek terbabit dapat ditahan tidak lama kemudian.

“Hasil, soal siasat, kami menahan seorang lagi suspek di Taman Bukit Anggerik, Cheras. Kami turut menemui Mazda CX5 milik mangsa.

“Suspek masing-masing berusia 20 tahun dan 24 tahun, seorang daripada mereka memiliki tiga rekod jenayah lampau termasuk dadah serta curi kenderaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:11 AM