KERETA Perodua Bezza yang dilarikan suspek dan antara barangan yang dirampas daripada suspek.
KERETA Perodua Bezza yang dilarikan suspek dan antara barangan yang dirampas daripada suspek.
Nurul Hidayah Bahaudin 


Serdang: Polis tidak menyangka penjenayah profesional yang dikesan melarikan sebuah kereta model Perodua Bezza adalah seorang wanita berusia 42 tahun.

Suspek yang menetap di rumah sewa di Sri Kembangan, di sini, dikesan berupaya mematikan sistem penggera sebelum melarikan kenderaan dicuri dalam tempoh beberapa minit.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek dikesan melarikan kereta itu yang diletakkan di hadapan rumah mangsa di Seri Kembangan, di sini, pada jam 11 malam kelmarin.

Menurutnya, mangsa memberitahu meletakkan keretanya di hadapan rumah dalam keadaan berkunci dengan baik kira-kira jam 10 malam.

“Bagaimanapun mangsa menyedari keretanya hilang dicuri ketika mahu pergi bekerja pada jam 7.30 pagi semalam.

“Dia kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kenderaan sebelum mendapati seorang wanita melarikan kenderaan itu,” katanya.

Megat berkata, sebaik menerima laporan daripada mangsa, pihaknya membuat serbuan di rumah sewa didiami suspek di Seri Kembangan kira-kira jam 1 petang semalam.

“Serbuan diketuai Ketua Balai Polis Seri Kembangan Inspektor Nur Azam Shah Mohd Aziz itu berjaya menahan suspek dan merampas telefon bimbit dan beg sandang miliknya.

“Suspek kemudian dibawa menunjukkan lokasi dia menyembunyikan kenderaan itu yang diletakkan di belakang sebuah pasar raya di Jalan Perusahaan 3, di sini,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Pada masa sama, polis masih mengesan seorang rakan suspek berusia 30-an yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 4:07 AM