MEGAT Mohamad Aminuddin menunjukkan kereta dijumpai semula selepas 48 jam dilarikan penjenayah.
MEGAT Mohamad Aminuddin menunjukkan kereta dijumpai semula selepas 48 jam dilarikan penjenayah.

Serdang: Tindakan pantas polis membolehkan sebuah kereta mewah model Lamborghini berharga lebih RM800,000 ditemui semula selepas 48 jam dilarikan penjenayah.

Kereta mewah milik seorang ahli perniagaan itu dilaporkan dicuri sekumpulan tiga lelaki sebelum dikesan berada di Plaza Tol Rawang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, seorang lelaki berusia 47 tahun yang memandu kereta itu ditahan polis ketika melalui plaza tol berkenaan.

Menurutnya, kereta mewah itu mulanya dilarikan tiga penjenayah bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Wawasan, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suspek yang menaiki kereta BMW melanggar kenderaan dipandu mangsa yang juga ahli perniagaan berusia 30-an sebelum bertindak melarikan Lamborghini berkenaan.

“Hasil maklumat dan risikan dijalankan, sepasukan polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang diketuai Inspektor Hassanul Izwat Yaacob menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah restoran di Jalan Sri Petaling, Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada lelaki itu, polis berjaya mengesan suspek yang sedang memandu kenderaan berkenaan di kawasan plaza tol itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 7:43 AM