Sebanyak 21 ekor lembu dipercayai diseludup masuk dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok dirampas di Kampung Simpangan, di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 21 ekor lembu dipercayai diseludup masuk dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok dirampas di Kampung Simpangan, di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Sebanyak 21 lembu seludup dibawa secara berulang menyeberangi Sungai Golok menerusi pangkalan haram di sini, hari ini.

Penyeludup mengikat badan lembu itu dengan tali pada bot sebelum menariknya berenang menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, semua binatang ternakan dari Thailand itu dirampas ketika ia sedang diheret beberapa individu ke kawasan semak di Kampung Simpangan, di sini, pada 7.30 pagi,

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam penugasan sempena Op Benteng Covid-19, anggotanya menerima maklumat mengenai penyeludupan lembu.

"Anggota kami membuat pemerhatian di dalam semak berhampiran tebing sungai di Pangkalan Haram Tualang.

"Sewaktu membuat intipan, kelihatan beberapa individu menarik sejumlah lembu menyeberangi sungai dengan menggunakan perahu dari Thailand ke tebing sungai berhampiran Pangkalan Haram Tualang.

"Sebaik tiba di tebing negara ini, lembu itu diheret menuju ke kawasan semak di Kampung Simpangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata, kehadiran anggotanya disedari penyeludup dan mereka melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Beliau berkata, pemeriksaan di sekitar lokasi menemui 21 lembu seludup yang disyaki dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Katanya, nilai keseluruhan lembu itu dianggarkan RM126,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 3:03 PM