Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menegaskan sesiapa sahaja termasuk ahli politik, jika terbabit menyokong dan membiaya dana kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berada dalam radar pihak berkuasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sesiapa sahaja tidak kira daripada parti mana jika terbabit dengan kumpulan pengganas ini berada dalam radar pihak polis.

Menurutnya, jika ada bukti asas kukuh terbabit dengan kumpulan itu, polis akan menahan mereka kerana pihaknya tidak akan menghentikan siasatan.

“Mereka ini sedia maklum LTTE sudah diharamkan jadi jika ada sebarang aktiviti selepas ini jangan terbabit dalam program itu.

“Polis akan meneruskan siasatan seperti sepatutnya dan dengan sekiranya cukup bukti kukuh, kita akan membuat tangkapan tidak mengira sesiapa dan dari parti mana,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai tiada lagi pemimpin DAP akan ditahan, Ayob berkata, beliau tidak pernah memberikan kenyataan untuk tidak membuat sebarang tangkapan terhadap anggota parti DAP.

“Saya tidak pasti dia (Guan Eng) dapat maklumat daripada mana yang polis tidak akan jalankan siasatan dan tangkapan tetapi yang pasti bukan daripada saya yang mengeluarkan kenyataan itu.

“Mungkin ada pihak lain... saya tidak pasti. Kenapa kita hendak hentikan siasatan sebaliknya kita akan terus menyiasat jika ada bukti kukuh akan tahan,” katanya.

Ditanya mengenai penyebaran gambar Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran terbabit dengan LTTE, Ayob menjelaskan sekadar bergambar tidak menjadi satu kesalahan.

“Sebelum buat tangkapan kita akan jalankan siasatan terperinci... jadi kalau setakat bergambar ramai lagi individu tertentu melakukan perkara sama bergambar dengan gengster kemudian gengster itu ditahan adakah dia ada kaitan dengan suspek.

“Ini kita perlu jalankan siasatan terperinci bukan sekadar bergambar dengan kumpulan pemimpin tertentu terus hendak tahan dia (Kulasegaran)... ini tidak adil namun jika ada asas dia menyokong dan mempromosi kita akan tahan,” katanya.

Berita berkaitan

LTTE: Seorang guru ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 1:32 PM
DATUK Ayob Khan pada sidang media khas PDRM berhubung penangkapan terbaru yang terbabit dengan LTTE.  FOTO Aizuddin Saad.
DATUK Ayob Khan pada sidang media khas PDRM berhubung penangkapan terbaru yang terbabit dengan LTTE. FOTO Aizuddin Saad.