Kapal Pengawal Pantai China dikesan mengawasi aktiviti nelayan negara itu yang menceroboh Beting Patinggi Ali di luar pantai Miri.
Kapal Pengawal Pantai China dikesan mengawasi aktiviti nelayan negara itu yang menceroboh Beting Patinggi Ali di luar pantai Miri.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuching: Kapal pengawal pantai China tidak memberi maklum balas ketika Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menghubungi mereka selepas dikesan mengiringi nelayan negara itu menceroboh perairan negara, sejak kelmarin.

Pengarah APMM Wilayah Sarawak Ismaili Bujang Pit berkata, APMM sudah mendapatkan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan menghantar kapal ke lokasi yang diceroboh, iaitu di Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum.

“Setakat ini kami belum dapat membuat pengesahan mengenai cubaan pihak berkuasa berkomunikasi dengan kapal pengawal pantai China itu.

“Namun, berdasarkan laporan sebelum ini, kapal pengawal pantai China itu tidak memberi sebarang maklum balas ketika kami menghubungi mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan pihak berkuasa negara ini mengesan sekurang-kurangnya 100 bot dan kapal termasuk kapal pengawal pantai China di perairan Beting Patinggi Ali, Miri, Sarawak.

Ismaili berkata, ketika ini APMM menempatkan tiga kapal di luar pantai Miri bagi mengawasi bot nelayan dan kapal pengawal pantai China yang dikesan menceroboh perairan negara sejak kelmarin.

Menurutnya, seramai 70 pegawai dan anggota berada di kawasan itu untuk memantau aktiviti kapal berkenaan, selain diarahkan supaya membuat laporan dari semasa ke semasa.

“Kehadiran kira-kira 100 hingga 150 kapal pukat tunda dan dua kapal pengawal pantai China itu dikesan berada di kedudukan 82 batu nautika di luar pantai Miri.

“Berikutan itu, tiga kapal APMM, KM Adil, KM Stapa dan KM Siakap diarah supaya terus berada di lokasi terbabit sejak semalam (kelmarin) kerana kawasan yang dimasuki kapal China itu sah milik Malaysia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, difahamkan insiden pencerobohan kapal pengawal pantai China pernah dikesan di perairan yang sama.

Perairan sekitar Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali berdekatan Miri, dikenal pasti sebagai kawasan paling kerap dicerobohi nelayan asing yang menangkap ikan tanpa kebenaran.

Lokasi yang terletak antara 85 hingga 120 batu nautika dari Miri itu, menjadi sasaran berikutan kewujudan terumbu karang besar menyebabkan ia kaya dengan sumber laut Gred A untuk eksport ke negara luar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 9:09 AM