Oleh Zakaria Abdul Wahab

Tokyo: Semalam, Jepun memperingati ulang tahun kelima tragedi gempa bumi di luar pantai Pasifik wilayah Tohuku yang mencetuskan tsunami mega dan seterusnya bencana nuklear.

Gempa bumi dasar laut bermagnitud 9.0 serta tsunami yang menyusulinya membawa kemusnahan besar sehingga 16,000 orang terbunuh dan ramai yang dilaporkan hilang sehingga hari ini.

Badai tsunami dahsyat itu yang mencapai ketinggian 15.5 meter menyebabkan kemusnahan besar pada Loji Janakuasa Nuklear Fukushima Daiichi 4,700MW yang terletak di pantai wilayah Fukushima dan menyebabkan sisa radioaktif merebak ke persekitaran.

Ribuan penduduk tempatan terpaksa dipindahkan dengan banyak daripada kejiranan bertukar menjadi bandar tinggal.

Hari ini tempat yang terjejas kerana gempa bumi dan tsunami hampir pulih sepenuhnya. Sehinggakan kawasan yang terjejas kerana kesan radioaktif, di luar lingkungan 12 kilometer (km) dari reaktor Fukushima, kehidupan beransur pulih.

Tsunami yang berlaku membawa kemusnahan besar bangunan dan infrastruktur di sepanjang pantai sejauh ratusan kilometer merentasi banyak daerah dari Aemori hingga Iwate, Miyagi dan Fukushima yang semuanya di Honshu, pulau utama Jepun.

Hampir semua kawasan yang musnah itu kini pulih seperti sedia kala.

Bagaimanapun, kesan radiasi di kawasan bencana nuklear masih menimbulkan kebimbangan ramai.

Loji Janakuasa Nuklear Fukushima Daiichi milik syarikat utiliti elektrik terbesar di Jepun, iaitu Tokyo Electric Power Company, Inc. (Tepco), menjadi perhatian dunia sejak kejadian kemalangan nuklear itu.

Tsunami itu membanjiri loji janakuasa itu dan menjejaskan pam kecemasannya yang mengepam air untuk menyejukkan reaktor nuklear yang secara automatik berhenti beroperasi apabila berlaku gempa bumi.

Menurut Hideaki Noro, Pengurus Besar Perhubungan Raya Fukushima Daiichi Decontamination and Decommissioning Engineering Company, sebuah anak syarikat Tepco, loji itu direke bentuk supaya dapat bertahan terhadap tsunami setinggi 5.7 meter dan tidak lebih daripada itu.

Bagaimanapun, loji itu tenggelam di bawah ombak tsunami setinggi 15.5 meter.

Tepco memiliki enam reaktor nuklear di loji Fukushima itu, tetapi ketika kejadian tiga daripadanya di bawah penyelenggaraan berjadual dan hanya tiga lagi yang beroperasi.

Laporan menunjukkan pancaran radiasi mencapai hampir 400 milli-sieverts sejam (mSv/h) di loji itu semasa tempoh kemuncak berbanding antara 0.02–0.06 mSv/h sebelum kejadian.

Awal mac ini, semasa ulang tahun kelima Fukushima semakin hampir, bacaan pancaran radiasi lebih 300 mSv/h direkodkan di tempat kejadian.

Mengenang semula insiden 2011 itu, Noro berkata, kawasan dalam lingkungan 20 kilometer dari loji janakuasa itu pada awalnya tidak dapat didiami kerana kesan radioaktif.

Menurut laporan, 300,000 orang di kawasan terjejas terpaksa meninggalkan kediaman mereka dengan sehelai sepinggang.

Mereka terpaksa meninggalkan semua barangan milik kerana dicemari kesan radioaktif. Kediaman, kenderaan, tanah dan sehinggakan anjing dan kucing peliharaan mereka turut ditinggalkan.

Bagaimanapun, selepas hampir lima tahun, kawasan terjejas kini mula menyaksikan aktiviti manusia. Terima kasih kerana kerja dekontaminasi yang dijalankan Tepco.

Pekan Naraha yang terletak di pinggir zon pemindahan di bahagian selatan loji Fukushima itu kini mula menyaksikan aktiviti manusia dengan lebih kurang lima peratus daripada 7,500 penduduknya pulang ke tempat mereka.

“Di Tomioka, satu lagi pekan yang terletak 12km dari loji nuklear itu, penduduk hanya boleh pulang ke situ pada sebelah siang dan perlu meninggalkan tempat itu sebelum malam,” kata Noro.

“Kawasan dalam lingkungan 12km loji nuklear itu terus kekal sebagai tempat yang tidak selamat bagi manusia memandangkan paras radioaktif masih tinggi, “ tambah Noro.

Kawasan yang dipindahkan itu kelihatan bagaikan terperangkap dalam relung masa dengan rumah, kedai, stesen minyak, kenderaan dan harta yang ditinggalkan itu terus kekal seperti lima tahun yang lepas, kecuali kini diliputi habuk.

Langsir rumah masih kelihatan separuh terbuka, di pasar raya produk pengguna terus kekal di rak, baju tergantung di penyangkut, kenderaan baru di bilik pameran diliputi habuk dan mesin jual layan diri lengkap dengan minuman di dalamnya kelihatan di tepi jalan.

Noro berkata, Tepco kini melaksanakan kerja merobohkan loji janakuasa itu dan membersihkan kawasan sekeliling daripada kesan radioaktif dengan tugas itu boleh mengambil masa antara tiga dan empat dekad untuk siap.

Sementara itu, Takehiko Mukaiyama, seorang pegawai Forum Industri Atomik Jepun (JAIF) Pusat Kerjasama Antarabangsa (JICC), berkata sebelum kejadian 11 Mac 2011 itu terdapat 54 loji janakuasa nuklear yang beroperasi membekalkan satu pertiga keperluan elektrik di Jepun.

Bagaimanapun, Mukaiyama berkata, sejak kejadian 2011 itu operasi semua loji tenaga nuklear dihentikan sementara.

Selepas kejadian Fukushima, kerajaan Jepun mewujudkan Lembaga Kawalselia Nuklear (NRA) yang memperkenalkan garis panduan keselamatannya pada September 2014 bagi syarikat utiliti yang mahu menyambung semula operasi loji nuklear masing-masing.

Tatsuji Narita, Pengarah Tenaga Antarabangsa di Kementerian Ekonomi, Pembangunan dan Industri (METI), berkata sehingga hari ini NRA telah memberi lampu hijau kepada empat loji nuklear, dua di Sendai dan dua di Takahama.

Dalam memenuhi peraturan baru itu, Loji Nuklear Mihama di Tsuruga, di Wilayah Fukui yang dimiliki Kansai Electric Power Co. Inc, memiliki ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dalam menghadapi bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi dan angin puting beliung.

Syarikat juga menambah satu lagi ciri keselamatan baru pada lojinya itu untuk menangani ancaman pengganas, termasuk serangan menggunakan kapal terbang, dengan memperkuatkan bangunan yang menempatkan reaktor nuklear dengan dinding yang lebih tebal.

Tatsuji berkata, walaupun kejadian Fukushima sedikit sebanyak mencemarkan imej industri tenaga nuklear Jepun, negara itu tidak boleh mengetepikan peranan loji tenaga nuklear ini untuk penjanaan tenaga masa hadapan. –BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 8:07 AM