Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 12 Januari depan untuk pengurusan kes saman yang dikemukakan oleh dua anak lelaki penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 terhadap syarikat penerbangan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendaftar, Pavani Kasi memerintahkan MAS dan empat lagi memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman itu sebelum 15 Disember ini, ketika prosiding di dalam kamarnya, di sini.

Peguam Datuk Dr S Arunan dan Gary Edward Chong hadir bagi mewakili dua beradik berusia 11 tahun dan 13 tahun itu.

Pada 31 Oktober lalu, dua beradik terbabit memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan itu dan empat yang lain untuk menuntut ganti rugi berhubung kehilangan pesawat itu yang dinaiki bapa mereka, Jee Jing Hang, 41, pada 8 Mac lalu.

Plaintif itu melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming, 38, menamakan MAS, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) , Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku plaintif pertama hingga kelima.

Dalam penyata tuntutannya, mereka mendakwa bapa mereka sudah memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing, 6.30 pagi, 8 Mac lalu.

Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan pertama seharusnya mengambil semua langkah wajib untuk memastikan suatu penerbangan yang selamat, namun sudah memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada butiran lanjut mengenai pengakhiran pesawat itu sehingga hari ini.

Selain itu, mereka mendakwa defendan pertama tidak memberi penjelasan yang sewajarnya mengenai kejadian itu.

Mereka turut mendakwa defendan kedua yang bertanggungjawab terhadap operasi DCA gagal dan cuai dalam mendapatkan perhubungan dan menjejaki pesawat itu melalui radar.

Defendan ketiga pula yang mempunyai kawalan untuk memeriksa dan membenarkan penumpang menaiki pesawat di KLIA didakwa cuai melaksanakan pemeriksaan ke atas penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:24 AM