ADIRA bersama Adenan hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi pengesahan nikah.
ADIRA bersama Adenan hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi pengesahan nikah.

Kuala Lumpur: Penyanyi Adira dan suaminya, ahli perniagaan Datuk Seri Adenan Abu mengemukakan gambar, rakaman video dan pasport ke Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, sebagai bukti perkahwinan mereka.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Irsamuddin Ikhsan yang mewakili pasangan itu selepas kes disebut semula di hadapan Hakim Syarie Mohd Abdul Karim Wahab.

Mahkamah menetapkan 28 Mac ini untuk keputusan terhadap permohonan pengesahan pernikahan mereka.

Terdahulu, di dalam prosiding, Adira dan Adenan diperintahkan memberi keterangan berhubung perkahwinan mereka yang berlangsung di Songkhla, Thailand.

Adenan memberitahu mahkamah bahawa dia berkahwin dengan Adira pada 3 Disember tahun lalu dengan menggunakan wali hakim.

Menurutnya, dua individu warga Thailand menjadi saksi dalam pernikahan mereka yang diadakan di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand.

“Saya ada melafazkan ‘aku terima nikahnya Siti Adira Suhaimi dengan mas kahwin RM1,000 tunai’. Ia dengan sekali lafaz dan disahkan oleh dua saksi yang hadir.

“Saya dan Adira hadir ketika pernikahan ini dijalankan. Status saya ketika itu sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri manakala Adira pula masih bujang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 6:43 AM