ANTARA pelajar KISAS kongsi kegembiraan selepas memperoleh keputusan STPM, semalam.
ANTARA pelajar KISAS kongsi kegembiraan selepas memperoleh keputusan STPM, semalam.
myMetro

Putrajaya: Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, berjaya mengekalkan prestasi sekolah terbaik negara untuk kali ketujuh bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu.

Pengetua KISAS Omar Salleh berkata, antara senjata kejayaan itu adalah guru yang sangat berpengalaman dalam mengajar dan mendidik pelajar sehingga berjaya memperoleh kecemerlangan.

“Guru dan tenaga pengajar yang ada di KISAS adalah antara yang terbaik dan mereka ini sudah lama berkhidmat selain mempunyai keistimewaan tersendiri melalui pengalaman mengajar.

“Kesungguhan mereka untuk menghasilkan produk yang berkualiti tercapai dengan mengikuti perkembangan perubahan iaitu dari sistem peperiksaan biasa ke modular,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Terbaik dan Pelajar Terbaik STPM dan Malaysian University English Test (MUET) 2015, di sini, semalam.

Anugerah disampaikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Seramai 97 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM tahun lalu dan KISAS mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 3.35 sekali gus mengekalkan pencapaian sekolah terbaik STPM sejak 2008 hingga 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 9:45 AM