Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang pembantu taska, Amir Azlan Zainudin, 48, atas dakwaan memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS).

Hakim Datuk Paduka Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas Amir Azlan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 13 Oktober 2014.

Amir Azlan didakwa membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki melalui Syria dengan cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam, pada 10.50 malam 13 Oktober 2014.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 5:34 PM