Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang sebanyak lima hingga 5.5 peratus pada tahun ini, sekali gus memberi impak kepada KDNK negara yang diunjur tumbu antara empat hingga 4.5 peratus pada 2016.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, tekanan negatif ke atas pertumbuhan PKS dijangka mampu diimbangi melalui pengukuhan permintaan domestik dan pasaran pekerjaan yang stabil.

“Kerajaan komited untuk terus menggalakkan penggunaan dan aktiviti pelancongan yang berkait rapat dengan prestasi PKS,” katanya pada sidang media bersempena Persidangan PKS Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini, semalam.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia), Datuk Dr Hafsah Hashim dan Presiden FMM, Tan Sri Saw Choo Boon.

Beliau berkata, PKS dijangka boleh memiliki ekosistem lebih baik dalam menjalankan perniagaan berikutan penguatkuasaan Akta PKS dan kewujudan platform pembiayaan alternatif seperti ekuiti dana awam.

“Selain itu, faktor seperti kewujudan platform penyediaan pinjaman peer-to-peer (P2P), pengurangan cukai korporat dan semakan semula Akta Kebankrapan akan membantu meningkatkan lagi ekosistem keusahawawan dan membolehkan PKS menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa,” katanya.

Ong berkata, 152 program pembangunan PKS dilaksanakan 18 kementerian dan 60 agensi membabitkan peruntukan RM7.34 bilion dengan SME Corp menerima 52,336 permohonan bagi bantuan kewangan termasuk geran padanan dan pinjaman mudah di bawah pelbagai programnya sehingga 30 September lalu dan 40,446 permohonan bernilai RM5.52 bilion diluluskan.

“PKS perlu menyertai pelbagai program, inisiatif dan insentif ditawarkan semua pihak dan proaktif dalam mempersiapkan diri mereka menerokai pasaran antarabangsa dengan merebut pelbagai peluang ditawarkan kerajaan dan sektor swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 7:35 AM