PENGARAH Urusan Andaman Group, Datuk Seri Dr Vincent Tiew (tiga dari kanan) bersama Azman (tengah) dan penceramah lain yang bakal menyertai Pameran Hartanah MyRumah pada hujung minggu ini.
PENGARAH Urusan Andaman Group, Datuk Seri Dr Vincent Tiew (tiga dari kanan) bersama Azman (tengah) dan penceramah lain yang bakal menyertai Pameran Hartanah MyRumah pada hujung minggu ini.
Oleh Sofyan Rizal Ishak dan Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) akan menyediakan beberapa pakej pembiayaan perumahan khas kepada pengunjung Pameran Hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Andaman Property Management Sdn Bhd (Kumpulan Andaman) bermula Jumaat ini.

Pakej pembiayaan itu adalah meliputi pembelian rumah pertama yang akan ditawarkan pembiayaan sehingga 100 peratus dan 90 peratus untuk mereka yang ingin memiliki kediaman hartanah kedua manakala 70 peratus kelulusan bagi kediaman seterusnya.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Runcit MBSB, Azman Aziz berkata, pakej yang ditawarkan itu adalah sebagai galakan terutamanya golongan muda yang ingin membeli rumah untuk kali pertama.

“Kami akan memberi garis panduan dan bimbingan mengenai jenis serta harga rumah yang mereka mampu miliki selain mencadangkan pakej pembiayaan mengikut peringkat gaji masing-masing dan ia mestilah mengikut syarat pembiayaan ditetapkan.

“Sesi kaunseling kewangan hartanah akan turut diadakan dalam kumpulan yang kecil bagi memudahkan mereka tidak tersilap membuat keputusan membeli rumah supaya tidak perlu menanggung beban liabiliti terlalu tinggi,” katanya di sini, semalam.

Pameran itu dijangka menghimpunkan 10 pemaju hartanah tempatan yang menawarkan rumah mampu milik dengan harga bawah paras RM500,000 di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, dengan sasaran sehingga 15,000 pengunjung dan tawaran sebanyak 5,000 unit rumah daripada 20 projek pembangunan kediaman di sekitar Lembah Klang itu dijangka menjadi perhatian khususnya MBSB sebagai institusi penyedia pembiayaan kewangan.

“Selain menawarkan pakej pembiayaan kepada mereka untuk membeli rumah, kami juga menyediakan pembiayaan kepada pengunjung yang ingin membuat pinjaman bagi ubah suai rumah melalui pakej tertentu pada pameran itu.

“Semua pakej pembiayaan sama ada untuk pembeli rumah pertama atau untuk ubah suai, kami menggunakan sistem kewangan patuh syariah dan ia antara tarikan istimewa untuk mereka yang berminat berurusan dengan MBSB,” katanya.

Katanya, MBSB juga akan menyediakan 20 pegawai untuk membantu pengunjung yang hadir mendapatkan bantuan sepanjang pameran itu berlangsung.

Pameran Hartanah MyRumah diadakan di Public Space, Balai Berita Bangsar NSTP, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang pada 8, 9 dan 10 Januari dengan masuk serta parkir kereta percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:36 AM