Sebuah lori muatan bauksit keluar dari LPT2  di Plaza  Tol  Kijal.
Sebuah lori muatan bauksit keluar dari LPT2 di Plaza Tol Kijal.
Oleh Isma Ismail dan Shamsudin Husin


Chukai: Seramai 2,000 penduduk beberapa kampung, di sini, mendakwa mereka berdepan bahaya dan tidak selesa setiap hari apabila lori membawa muatan bauksit menggunakan laluan di kawasan mereka untuk ke Pelabuhan Kemaman, dekat sini.

Penduduk mendakwa lori berkenaan dikatakan melalui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) selepas mengambil bijih berkenaan di sekitar Kuantan sebelum keluar di Plaza Tol Kijal di Seri Bandi, di sini dan melalui kawasan berkenaan untuk ke pelabuhan.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Batu 9, Kampung Pondok Limau, Kampung Padang Kemunting dan Kampung Bukit Anak Dara.

Seorang penduduk, Sulaiman Ali, 67, berkata, selain melalui empat kampung terbabit, kenderaan berat berkenaan juga melalui Kampung Payuh dan Kampung Bukit Teruna yang menjadi laluan utama penduduk Kijal untuk ke LPT2.

“Bagaimanapun, kebanyakan lori muatan bauksit terbabit menggunakan laluan di empat kampung bermula dari Kampung Batu 9 kerana jaraknya lebih dekat ke Pelabuhan Kemaman berbanding melalui Kampung Payuh dan Bukit Teruna,” katanya.

“Dengan jumlahnya yang banyak, keadaan itu mendatangkan bahaya pada pengguna terutama penduduk kampung menggunakan motosikal atau basikal.

“Pemandu lori ini juga seolah-olah tidak mengendahkan pengguna jalan raya lain dan ada masa mereka memandu dalam keadaan bahaya termasuk lori dipandu laju.

“Penduduk sudah meminta supaya pihak kerajaan negeri berbuat sesuatu kerana selain bahaya, kami juga tidak mahu kawasan kampung akan berwarna kemerahan seperti yang berlaku di Kuantan,” katanya.

Penduduk Kampung Payuh, Mazlan Ismail, 49, berkata, sejak lori terbabit melalui kampung berkenaan, jalan di kawasan berkenaan rosak.

“Kepala jambatan di kampung kami juga berlaku tanah mendap kerana tidak dapat menampung beban lori bauksit yang melebihi 30 tan setiap sebuah.

“Keadaan lebih bahaya pada waktu malam terutama kepada pengguna jalan raya dari luar kampung kami yang mahu memasuki LPT2 yang tidak tahu keadaan tanah mendap itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar mengakui beberapa laluan membabitkan jalan persekutuan di kawasannya rosak teruk disebabkan kehadiran lori membawa muatan bauksit.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk kawasan berkenaan berasa tidak selesa dan mendatangkan masalah kepada pengguna jalan raya terbabit.

“Ingin saya jelaskan, lori bauksit itu mengangkut bijih terbabit dari lombong di Bukit Goh, Kuantan dan bukannya di kawasan daerah ini atau Terengganu.

“Mereka menggunakan laluan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih untuk menghantarnya ke Pelabuhan Kemaman.

“Keadaan ini menyebabkan kawasan kami turut terpalit sama dan ia berlarutan sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Menurutnya, wakil penduduk dari beberapa kawasan DUN Air Putih akan menyerahkan memorandum bersama tandatangan penduduk kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di PWTC, Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015, hari ini.

Katanya, menerusi memorandum itu, penduduk memohon beberapa perkara termasuk meminta kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang perlombongan bauksit di Terengganu serta menghalang lori berkenaan menggunakan laluan di daerah terbabit.

“Saya yakin kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan termasuk kementerian berkaitan sedang ambil tindakan tertentu dalam menangani masalah yang berlaku ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 9:13 AM