lori berat yang sarat dengan muatan bauksit  tular sejak beberapa bulan lalu.
lori berat yang sarat dengan muatan bauksit tular sejak beberapa bulan lalu.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Kelibat lori membawa muatan tanah berwarna merah dari kawasan lombong bauksit di sekitar Jabor dan Perasing, Terengganu ke Pelabuhan Kuantan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk adakah aktiviti perlombongan bahan mineral itu sudah kembali aktif.

Malah, beberapa gambar kenderaan berat yang sarat dengan muatan bauksit mula tular sejak beberapa bulan lalu sehingga menimbulkan keresahan orang ramai terutama mereka yang menggunakan jalan sekitar Sungai Ular dan Pelabuhan Kuantan.

Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Bauksit Kuantan (GERAM) Ali Akbar Othman berkata, aktiviti pelombongan dan mengangkut bauksit masih ‘hidup’ walaupun tempoh moratorium dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

Katanya, aktiviti itu semakin aktif sejak awal tahun ini dengan kelibat kenderaan berat mula keluar masuk di kawasan lombong namun ia tidak serancak sebelum arahan morotarium itu dikeluarkan.

Dakwanya, kerja melombong lazimnya dilakukan pada waktu siang manakala proses membawa keluar bahan mineral itu dilakukan pada waktu malam sehingga awal pagi.

“Ada penduduk di sekitar Jabor melihat deretan kenderaan berat itu beratur untuk membawa keluar bauksit sekitar 6 pagi malah kawasan di sekitar Sungai Ular juga sering sesak dengan lori berkenaan.

“Lebih membimbangkan ada pemandu lori sesuka hati memotong kenderaan lain ketika melalui kawasan sesak itu tanpa memikirkan keselamatan pemandu lain,” katanya.

Ali Akbar berkata, pengendali lombong berkenaan agak licik dengan menggunakan laluan ‘dalam’ untuk membawa bauksit namun terpaksa juga keluar ke laluan utama untuk ke pelabuhan.

Malah dakwanya, timbunan bauksit di pusat pengumpulan di beberapa kawasan di daerah ini juga dilihat tidak susut meskipun kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan kelibat lori berkenaan untuk mengosongkan kawasan pengumpulan itu.

“Jika moratorium itu benar-benar dilaksanakan mengapa masih ada kenderaan berat ini di jalan raya, malah ada antaranya membawa muatan berlebihan.

“Penduduk tidak mahu kejadian jalan yang dipenuhi tanah merah serta hidup dalam keadaan persekitaran berdebu berulang kembali,” katanya.

Dalam pada itu dia berkata, GERAM bukanlah menentang sepenuhnya aktiviti itu namun mereka mahu semua pengendali lombong melakukannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

Katanya, apa yang mengecewakan sehingga kini SOP berkenaan belum dikeluarkan meskipun arahan moratorium itu dilanjutkan beberapa kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 5:24 AM