Nor Azura Abdul Jalil


Ampang: Seorang wanita kerdil dihukum penjara tiga tahun dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah atas 53 pertuduhan menipu seorang pakar bedah kosmetik dengan mendakwa kononnya dia anak perempuan Sultan Pahang sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM1.2 juta.

Pada prosiding di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali, bekas eksekutif insurans, Rohaida Yahlil, 41, dijatuhi hukuman penjara 38 bulan selepas mengaku salah atas 34 pertuduhan.

Manakala di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, tertuduh dihukum penjara tiga tahun atas 19 pertuduhan serupa.

Kesemua hukuman itu berkuat kuasa bermula tarikh tangkap, semalam.

Mengikut kesemua pertuduhan, Rohaida didakwa menipu Datuk Dr Abdul Jalil Jidon, 60, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah Yang Amat Mulia Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah.

Tertuduh menggunakan dua alasan iaitu pembayaran cukai kepada Bank Negara bagi membolehkan wang masuk dari luar negara dan untuk kegunaan peribadi Sultan Pahang.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai melalui cek untuk dimasukkan ke akaun Maybank Khuzairiah Abdul Latiff, yang juga rakannya, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdaya sedemikian.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Maybank Taman Melawati, di sini antara Jun 2013 dan April 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta sebatan malah boleh dikenakan denda.

KUALA LUMPUR 14 MARCH 2017. Seorang wanita kerdil yang juga bekerja sebagai ejen insuran, Rohaida Yahlil mengaku salah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas 61 pertuduhan menipu dan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram. STR /HALIM SALLEH

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 6:20 PM
Rohaida mengaku salah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini. FOTO & VIDEO Halim Salleh
Rohaida mengaku salah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini. FOTO & VIDEO Halim Salleh