ABDUL Muin (tiga dari kiri) memegang tabung yang dilancarkan, semalam.
ABDUL Muin (tiga dari kiri) memegang tabung yang dilancarkan, semalam.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: “Kehidupan kami, pelajar di Mesir semakin teruk sejak nilai tukaran wang asing menurun.

“Ada yang terpaksa makan nasi berkuah kari kosong untuk berjimat, ada juga yang berkongsi sepeket mi segera,” kata Abdul Muin Mohd Noor, 21.

Menurut pelajar tahun dua Sarjana Muda Ulum Islamiah di Universiti Al-Azhar Mesir itu, kebanyakan pelajar kini kian tersepit dengan kejatuhan nilai ringgit sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut.

“Ini berlaku kepada rakan serumah saya sendiri. Baru dua minggu memegang duit belanja, dia sudah mula makan nasi berkuah kari kosong.

“Ketika ditanya, dia memberi alasan hendak berjimat. Namun apabila diselidik, rupa-rupanya dia sudah kehabisan wang,” katanya.

Dia yang juga Presiden Kelab PERKASA Mesir berkata, rakannya itu diberi wang belanja RM400 sebulan yang sebahagian besar digunakan membayar sewa rumah.

“Daripada RM400 itu, RM250 digunakan membayar sewa rumah dan baki RM150 untuk menampung tambang ke kelas, makan dan buku.

“Selain itu, ada juga pelajar tahun 6 yang sepatutnya tamat pengajian tahun depan, tapi masih mempunyai tunggakan yuran tahun lalu.

“Mereka ini berkemungkinan besar tidak dapat mengambil peperiksaan akhir kerana sudah diberi amaran oleh pihak universiti,” katanya.

Beliau ditemui ketika majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, semalam.

Tabung bantuan kepada pelajar itu adalah hasil inisiatif Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau menyokong inisiatif PERKASA dalam membantu meringankan beban pelajar Melayu di Mesir.

“Soal pelajar ini harus ditangani segera kerana mereka terikat kepada jadual pembelajaran serta peperiksaan di setiap semester.

“Kalau mereka hilang peluang menduduki peperiksaan, sudah pastinya usaha bertahun-tahun di negara orang akan jadi sia-sia,” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau yakin rakyat negara ini baik hati dan sanggup menghulurkan bantuan kepada pelajar di Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 9:37 AM