DR Mohd Fauzi  (hadapan) melihat  sayur yang ditanam secara  hidroponik selepas perasmian Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) 2015, semalam.
DR Mohd Fauzi (hadapan) melihat sayur yang ditanam secara hidroponik selepas perasmian Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) 2015, semalam.
Oleh Siti Farahiyah Aziz

Serdang: Inovasi penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan pelbagai anak pokok, termasuk klon anak pokok durian ditawarkan dengan harga serendah RM10 pada Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM yang bermula semalam hingga 4 November ini.

Antara anak pokok durian di ekspo itu jenis klon D24, D99, D168 dan D197 yang mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

Ekspo itu bertemakan Mendepani Pertanian sejajar dengan matlamat UPM untuk menarik minat masyarakat supaya menjadikan aktiviti pertanian ke arah lebih dinamik.

Hairani Abd Halim, 36, yang bekerja sendiri mengakui, dia membeli 30 anak pokok sebagai tambahan koleksi hobinya walaupun kali pertama mengunjungi ekspo pertanian ini.

“Di sini terdapat pelbagai jenis pokok bunga, sayuran, buahan serta herba memudahkan pengunjung memilih anak pokok yang diinginkan.

“Sampai saja sini, saya terus borong pokok yang saya mahu kerana yakin dengan kualiti anak pokok keluaran UPM ini dan harga ditawarkan lebih murah berbanding kedai di luar,” katanya ketika ditemui di Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsuddin dan Pengarah Taman Pertanian UPM Prof Dr Japar Sidik Bujang.

Hairani berkata, selain membeli anak pokok, pembeli boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai pokok bermasalah dengan pakar pertanian.

“Hobi saya cenderung ke arah pertanian ini bagi memastikan keluarga dapat makan buahan atau sayuran yang kurang bahan kimia.

“Tambahan pula, sebagai contoh, sayuran ditanam sendiri lebih segar kerana kita boleh petik daripada pokok yang dijaga sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, ekspo itu juga menawarkan perkhidmatan Klinik Pengembangan Pertanian membabitkan pakar pertanian untuk membantu orang ramai mengenai kaedah dan masalah pertanian.

“Kami menyasarkan 1,000 hingga 1,500 pengunjung ke ekspo ini kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai pertanian kerana pihak universiti menyediakan 12 pakar di klinik itu.

“Oleh itu, orang ramai, khususnya pihak perlu berusaha menggerakkan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian bagi meningkatkan produktiviti bekalan makanan, penerokaan pertanian bernilai tinggi, pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengukuhan rantaian makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 9:00 AM