PROJEK Anggun dibangunkan UDA di Jalan Sultan Ismail.
PROJEK Anggun dibangunkan UDA di Jalan Sultan Ismail.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: UDA Holdings Berhad (UDA) masih mencatatkan keuntungan meskipun tidak merekodkan sasaran jualan antara RM300 juta hingga RM500 juta seperti yang ditetapkan untuk tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata, keadaan itu berlaku disebabkan faktor persekitaran ekonomi yang masih mencabar khususnya untuk industri hartanah.

“Pada awalnya kami merancang untuk melancarkan lima projek pembangunan baru dengan tumpuan kepada unit kediaman mampu milik namun sehingga hujung 2017, UDA hanya mampu melancarkan tiga projek saja.

“Walaupun tak berjaya seperti apa yang dicita-citakan, tetapi usaha sudah dijalankan dan kami memberikan komitmen penuh terhadap semua perancangan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas Program UDA Outreach: Jom Ke Sekolah, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dua lagi baki projek di Bangsar dan Cheras yang tidak sempat dilancarkan bakal dibawa ke tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, untuk projek Legasi Kampung Baru, 100 peratus unit kediaman mampu milik sudah habis dijual membabitkan 206 unit.

“Bagi perancangan 2018, kami akan menjual baki 80 peratus unit kediaman sedia ada termasuk di Pulau Pinang, Johor, Legasi Kampungg Baru dan Anggun di Jalan Sultan Ismail.

“Kami hanya menunggu masa yang sesuai dan tidak teragak-agak untuk melancarkan projek pembangunan baru sekiranya terdapat permintaan memberansangkan,” katanya.

Menjelang akhir 2018, UDA menyasarkan jumlah pendapatan kumpulan mencecah sehingga RM700 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 9:23 AM