Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengutuk sekeras-kerasnya gejala Islamophobia dan menyifatkan ia satu bentuk diskriminasi serta penindasan melampau terhadap orang Islam.

Perdana Menteri berkata, baru-baru ini di Amerika Syarikat seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun bernama Ahmed ditahan polis kerana membawa jam rekaannya ke MacArthur High School di Irving, Texas.

“Jam ciptaannya itu disalah sangka sebagai bahan letupan hanya kerana (Ahmed) seorang Muslim. Inilah yang dipanggil Islamophobia,” katanya menerusi catatan terbaru dalam blog rasminya NajibRazak.com, semalam.

Menurutnya, sebarang tindakan cuba mengaitkan Islam dengan keganasan dikutuk kerana aktiviti keganasan dilakukan ramai lagi golongan bukan beragama Islam.

“Peperangan yang mengorbankan nyawa ratusan ribu orang di Iraq, adalah satu bentuk keganasan. Kekejaman Israel ke atas Palestin juga satu bentuk keganasan.

“Malah, ia lebih besar skalanya dan berdekad lamanya penindasan mereka ini. Penggunaan bom nuklear dan bom kimia jika digunakan membunuh berjuta orang awam juga satu keganasan,” katanya.

Mereka yang melakukan keganasan itu kata Najib, bukannya beragama Islam namun tidak pula dianggap sebagai pengganas.

“Hakikatnya, keganasan adalah krisis kemanusiaan membabitkan semua tanpa mengira agama.

“Kita sebagai umat manusia perlu bersatu melindungi sesama kita, tidak kira agama daripada puak mendiskriminasi dan penindas agama kerana mereka ini sebenarnya yang bermasalah bukannya orang Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:23 AM