SEBAHAGIAN pengunjung membanjiri ruang pameran TNB pada Hari Terbuka GLC 2015, semalam.
SEBAHAGIAN pengunjung membanjiri ruang pameran TNB pada Hari Terbuka GLC 2015, semalam.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sempena Hari Terbuka GLC (syarikat berkaitan kerajaan) 2015 yang bermula kelmarin sehingga hari ini, graduan serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tidak melepaskan peluang untuk meneroka peluang pekerjaan dan kebanyakannya tertumpu di pameran Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Gerai berkenaan mendapat perhatian pengunjung yang mahu mengetahui lebih lanjut berhubung profil syarikat, sekali gus merebut peluang untuk menjadi kakitangan GLC itu.

Rata-rata pengunjung yang ditemui tertarik dengan rekaan kreatif pameran TNB di samping kemesraan kakitangan syarikat itu yang tidak lokek berkongsi maklumat dengan umum.

Antara pengunjung yang ditemui, Mohd Saufi Abu Bakar, 25, yang juga eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara berkata, dia bersama beberapa rakannya hadir sempena Hari Terbuka GLC 2015 untuk melihat pasaran pekerjaan terkini.

“Saya sangat tertarik dengan pameran TNB kerana sangat kreatif dan memaparkan pelbagai maklumat berhubung syarikat ini.

“Selain itu, sifat ramah kakitangan TNB membuatkan kita tidak berasa janggal dan mereka tidak lokek untuk berkongsi maklumat,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Bagi Nurzulhusnee Ishak, 23, turut berkongsi pendapat sama berikutan kemesraan yang ditonjolkan kakitangan syarikat berkenaan.

Nurzulhusnee yang juga graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang sains matematik berkata, dia sememangnya bercita-cita untuk bekerja di syarikat itu dan peluang berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengetahui profil GLC terbabit.

“Seperti yang kita semua tahu, TNB syarikat yang sangat dikenali dan saya fikir semua graduan bercita-cita untuk menjadi sebahagian kakitangan mereka.

“Hari ini (semalam), saya berkesempatan untuk mengetahui pelbagai maklumat yang berkaitan TNB sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Rakannya Noor Izzati Abdullah, 20, yang juga penuntut UIAM dalam bidang sama berkata, dia tertarik untuk melihat pameran TNB kerana tertarik dengan rekaan kreatif ruang pameran mereka.

Selain itu, katanya, ruang pameran yang disediakan turut mengandungi pelbagai maklumat berkaitan TNB dan juga kejayaan yang pernah diperoleh syarikat itu.

Sementara itu, graduan sebuah IPT swasta dari Indonesia, Andy Erwanto, 20, turut menzahirkan perkara sama kerana sangat mengagumi keupayaan syarikat berkenaan.

Menurutnya, biarpun dia berasal dari Indonesia, namun jenama TNB itu sudah dikenali dan peluang pameran itu sangat baik dalam memberi maklumat kepada pengunjung terutamanya graduan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:15 AM