Timbalan Pengarah Muzium Alam Semulajadi, Farizawati Sabri (kanan) memberi penerangan kepada petugas media mengenai Pameran Racun dan Bisa di Jabatan Muzium Malaysia.
Timbalan Pengarah Muzium Alam Semulajadi, Farizawati Sabri (kanan) memberi penerangan kepada petugas media mengenai Pameran Racun dan Bisa di Jabatan Muzium Malaysia.
Oleh Siti Farahiyah Aziz


Kuala Lumpur: Haiwan yang kelihatan cantik dan menarik sentiasa menjadi perhatian tetapi ia tidak semestinya selamat kerana boleh memudaratkan mangsa sehingga menyebabkan maut dalam tempoh singkat.

Pengarah Bahagian Dasar dan Pembangunan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Mohamad Shawali Badi berkata, racun boleh didapati daripada tumbuhan, cendawan atau haiwan, namun bisa hanya terdapat pada haiwan saja.

“Haiwan berbisa mempunyai kelenjar bisa yang mensintesis dan menyimpan campuran toksin kompleks manakala haiwan beracun tidak mempunyai alat khas untuk menyebarkan bisanya tetapi sebahagian tisu dan organ tubuhnya beracun kepada mangsa.

“Kelenjar itu berhubung untuk menyampaikan bisa ke dalam tisu seperti gigi taring berongga, taring, sesungut atau penyengat,” katanya ketika ditemui di Pameran Racun dan Bisa di Muzium Negara, di sini, semalam.

Pelbagai kategori haiwan beracun dan berbisa yang dipamerkan termasuk mamalia, reptilia, amfibia, serangga, labah-labah serta ikan.

Shawali berkata, pengunjung boleh mengenali dan memahami spesies haiwan beracun dan berbisa, meningkatkan kepekaan dan kesedaran biologi dan habitat haiwan, menambah pengetahuan mengenai rawatan asas serta menggalakkan penyelidikan ilmiah mengenai khazanah alam semula jadi ini.

“Haiwan yang paling beracun di pameran ini adalah ikan buntal dan haiwan paling berbisa adalah siput kon geografik, ikan batu dan ular tedung selar.

“Walaupun racun dan bisa haiwan yang dipamerkan ini boleh membawa maut, terdapat sesetengah racun dan bisa itu sangat berguna dalam bidang perubatan,” katanya.

Pameran yang berlangsung dari 31 Julai hingga 31 Oktober ini terbuka kepada orang ramai secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:17 AM