Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: “Saya tidak pasti dari mana dia (Raja Petra Kamarudin) dapat maklumat itu, tapi kami (polis) akan menjalankan siasatan,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung kenyataan Raja Petra mengenai tiga pegawai atasan Bank Negara Malaysia (BNM) disiasat kerana disyaki membocorkan maklumat sulit kepada Wall Street Journal (WSJ).

Melalui kenyataan disiarkan portal Malaysia Today bertajuk ‘The Bank Negara Scandal, Yet Again’ kelmarin, Raja Petra menamakan tiga pegawai atasan dan mendakwa laporan dibuat terhadap mereka sebelum disiasat berhubung kebocoran maklumat perbankan dikaitkan dengan pendedahan WSJ.

Khalid menafikan dakwaan itu dan berkata, tiga pegawai atasan berkenaan tiada kaitan dengan siasatan pihaknya buat masa ini, malah Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz juga mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu.

“Memang kami mengambil keterangan beberapa pegawai bank. Kami buka siasatan dan membuat perancangan, terlebih dulu kami pergi kepada mereka yang bertanggungjawab ke atas rekod akaun.

“Kami akan mengenal pasti mereka yang terbabit. Tidak boleh ambil ringan kerana jika dibiarkan berleluasa pasti orang akan dedah akaun perbankan. Tiada pelabur ingin membuka akaun di negara kita sebab tiada kerahsiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis Ihya Ramadan di Masjid Nurul Iman, Kampung Gebok, Mantin di sini, petang semalam.

Khalid berkata, pasukan siasatan khas turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu dan pegawai bank dipanggil memberi keterangan termasuk bank komersial.

“Kita memandang serius kebocoran maklumat perbankan. Siasatan boleh dilakukan mengikut Akta Kewangan 2012, Akta Jenayah Komputer 1997, Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin kes berkenaan dapat disiasat kerana setiap pihak atau individu mengakses akaun perbankan akan direkodkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 7:16 AM