ZAMARI (dua dari kiri) bersama  penumpang feri Pelabuhan Hutan Melintang di Sungai Sumun.
ZAMARI (dua dari kiri) bersama penumpang feri Pelabuhan Hutan Melintang di Sungai Sumun.
Oleh Abu Bakar Al Sidek

Hutan Melintang: Tempoh enam bulan diberikan kepada syarikat pengendali Pelabuhan Hutan Melintang di Sungai Sumun, di sini, untuk memaju dan menaik taraf kawasan itu supaya lebih berdaya saing dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna terutama pelancong.

Pegawai Daerah Hilir Perak Zamari Mohd Ramli berkata, syarikat Gadaf Marble yang mengendalikan operasi pelabuhan itu diminta menaik taraf kemudahan berkenaan kerana ketika ini, hanya mempunyai bangunan separuh papan dan separuh konkrit.

Menurutnya, pelabuhan itu menjadi pintu masuk bagi warga Indonesia menerusi perkhidmatan feri penumpang yang berulang-alik antara Pelabuhan Hutan Melintang dengan Pelabuhan Tanjong Balai, Medan, Indonesia setiap hari kecuali Ahad.

“Ia beroperasi di bangunan papan separuh konkrit yang usang serta masih menggunakan kerusi plastik dan meja papan selain tidak mempunyai pendingin hawa atau prasarana sewajarnya.

“Kawasan sekeliling di luar bangunan pelabuhan juga perlu diturap kerana keadaan jalan sering becak apabila hujan,” katanya selepas mendengar taklimat disampaikan Ketua Imigresen Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman dan perunding dilantik syarikat itu, Kumar Jai mengenai operasi pelabuhan berkenaan.

Beliau berkata, langkah segera perlu dilakukan dalam menaik taraf pelabuhan berkenaan kerana ia sering digunakan terutama setiap kali menjelang perayaan kerana ramai pekerja warga Indonesia akan pulang bercuti sempena Aidilfitri.

“Menyedihkan apabila pelabuhan ini kelihatan usang kerana tidak mempunyai prasarana sepatutnya.

“Saya melihat kaunter jualan tiket dan urusan pasport Jabatan Imigresen tiada pendingin hawa selain menggunakan kerusi dan meja usang yang tidak mencerminkan imej pelabuhan,” katanya.

Sementara itu, Kumar Jai memberi jaminan untuk menaik taraf pelabuhan itu dengan prasarana sesuai seperti disarankan.

“Memang menjadi matlamat syarikat untuk memaju dan memberi wajah baru kepada pelabuhan ini kerana dianggarkan 5,000 hingga 6,000 warga Indonesia berulang-alik menggunakan pelabuhan ini untuk bekerja, melancong, rawatan perubatan atau belajar di pusat pengajian di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:22 AM