TENGKU Adnan (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera, Wilayah Persekutuan, Mithlan Samijo (dua dari kanan) pada majlis penyerahan sumbangan kepada Persatuan Penjaja Kuala Lumpur.
TENGKU Adnan (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera, Wilayah Persekutuan, Mithlan Samijo (dua dari kanan) pada majlis penyerahan sumbangan kepada Persatuan Penjaja Kuala Lumpur.
Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Tiada lagi kelibat penjaja di luar bangunan dan bawah pokok di ibu kota apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mentransformasikan peniaga jalanan untuk menggunakan van atau trak menjelang 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, dasar itu dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan imej penjaja dan bandar raya bertaraf dunia.

“Kami mahu penjaja membuat migrasi daripada kaedah penjaja di tepi jalan atau bawah pokok kepada lebih moden dan teratur seperti di negara maju seluruh dunia seperti New York, London dan Sydney.

“DBKL mendapatkan peruntukan RM500,000 bagi membantu 50 penjaja untuk menukarkan mereka daripada peniaga tepi jalan kepada perniagaan menggunakan trak.

“Setiap penjaja ini diberikan modal RM10,000 untuk membeli trak dan bakinya dijangka dibantu melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Persatuan Penjaja Kuala Lumpur di DBKL, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz, Pengarah Eksekutif Sosioekonomi DBKL Datuk Normah Malik dan Timbalan Pengarah 2 DBKL Ibrahim Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:26 AM