LAU (dua dari kanan) dan Safrizal diiringi polis ke mahkamah, semalam.
LAU (dua dari kanan) dan Safrizal diiringi polis ke mahkamah, semalam.

Nibong Tebal: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi, di sini, semalam atas pertuduhan mengedar methamphetamine pada 23 Jun lalu.

Tertuduh, Safrizal, 34, warga Indonesia dan Lau Boon Siah, 53, minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Tertuduh didakwa mengedar methamphetamine seberat 41,688.2 gram (g) di hadapan pintu masuk kedua Perniagaan Mei Hua Enterprise, 1339 Jalan Paboi Bukit Tambun, di sini, jam 11 pagi, pada 23 Jun lalu.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan ketika ditahan, mereka sedang memindahkan dua beg berisi 40 bungkusan dadah itu dari sebuah kereta ke sebuah kereta lain di kawasan kedai berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) dan Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norsakinah Ibrahim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:07 AM