Oleh Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine, Selasa lalu. Safrizal, 34, warga Indonesia dan Lau Boon Siah, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Rashidah Baharom.

Kedua mereka dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 41,688.2 gram(g) di hadapan pintu masuk kedua Perniagaan Mei Hua Enterprise, 1339 Jalan Paboi Bukit Tambun di sini pada 11 pagi, 23 Jun lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen39B (2) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norsakinah Ibrahim dan mahkamah kemudian menetapkan 6 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:29 AM