PENGURUS Besar Kanan Haji TH Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman  (kiri),  dan Christoph bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan  Ismee  (dua dari kiri) dan Pengerusi MAS  Tan Sri Md Nor Md Yusoff.
PENGURUS Besar Kanan Haji TH Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri), dan Christoph bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan Ismee (dua dari kiri) dan Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Md Yusoff.

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian dengan Malaysia Airlines (MAS) bagi penerbangan sewa khas membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada musim haji 1436H/2015M.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Ismee Ismail berkata, kerjasama TH dan MAS dalam penghantaran jemaah haji itu bermula sejak 1980-an lagi di mana pengalaman dan kecekapan MAS menjadi pendorong untuk melanjutkan kerjasama itu.

“TH amat menitikberatkan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia dan yakin MAS akan meneruskan perkhidmatan cemerlang diberikan selama ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak di sini, semalam.

Pada tahun ini, sebanyak 78 penerbangan sewa khas MAS bagi penerbangan pergi dan balik jemaah haji akan dilaksanakan dengan menggunakan pesawat Boeing B777-200.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Christoph Mueller berkata, pihaknya bersama TH komited untuk menyediakan perkhidmatan yang komprehensif serta selesa di darat dan di dalam kapal kepada jemaah-jemaah haji.

“Kami amat berbesar hati kerana terpilih untuk kerjasama operasi haji ini dan gembira segala usaha sudah mencapai standard diharapkan,” katanya.

Penerbangan sewa khas terbabit akan berlepas ke Tanah Suci dalam dua peringkat dengan penerbangan pertama bermula dari 16 Ogos ini hingga 16 September ini manakala penerbangan fasa kedua pula dijadualkan bertolak dari Tanah Suci dari 29 September hingga 28 Oktober ini.

MAS akan menyediakan perkhidmatan di tujuh stesen berlepas iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Terengganu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Sarawak ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 10:03 AM