TINJAUAN kuih raya di beberapa pasaraya sekitar Klang, Sempena sambutan Raya Aidilfitri.
TINJAUAN kuih raya di beberapa pasaraya sekitar Klang, Sempena sambutan Raya Aidilfitri.

Klang: Keghairahan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri membuka peluang pihak tertentu yang didakwa mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual kuih biskut raya diimport dari beberapa negara diragui status halalnya.

Malah, kuih dan biskut raya dijual pada harga lebih murah itu menarik perhatian pengguna seterusnya turut menjejaskan perniagaan usahawan Bumiputera.

Tinjauan di beberapa pasar raya utama di sini mendapati terdapat beberapa jenis biskut yang dijual mempunyai tulisan meragukan dan tidak mempunyai logo halal.

Biskut berkenaan dijual pada harga antara RM10 hingga RM12 bagi sebalang mengikut berat dan jenis biskut manakala harga biskut buatan Bumiputera pula dijual pada harga RM20 hingga RM30 untuk kuantiti dan jenis biskut yang sama.

Antara biskut yang dijual termasuk tart nanas, biskut kekacang, tart gulung, biskut kopi, kuih bangkit dan biskut cip coklat.

Pengedar biskut raya, Salina Mohamed, 26, berkata, beliau yang sudah tiga tahun menjadi pengedar biskut raya buatan tempatan mendapati lambakan biskut raya murah di pasar raya secara tidak langsung menjejaskan perniagaannya.

“Sudah tiga tahun saya menjual biskut raya dan setiap tahun masalah yang sama timbul kerana harga yang ditawarkan terlalu murah berbanding harga yang kami tawarkan.

“Pembeli yang datang akan mengadu bahawa biskut yang saya jual mahal, sedangkan mereka boleh dapatkan biskut yang sama dengan harga yang lebih murah di pasar raya,” katanya ketika ditemui.

Salina turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati kerana biskut yang dijual dengan harga yang murah itu diragui status halal dan tidak mustahil akan memudaratkan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 9:31 AM