Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Pengasas produk kesihatan dan kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas 16 pertuduhan gagal kemuka penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan bagi 1 April 2015 hingga 31 Julai lalu.

Pengakuan itu dibuat Hasmiza, 45, atau lebih dikenali Datuk Seri Vida di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas peguamnya, Syed Ahmad Syed Abas memberitahu mahkamah yang anak guamnya ingin mengaku salah.

Murtazadi kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap kesalahan menjadikan jumlah keseluruhan perlu dibayar Hasmiza sebanyak RM80,000 bagi 16 pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Hasmiza yang hadir ke mahkamah dengan berpakaian jubah hitam dan bertudung merah jambu kekal dengan pengakuan tidak bersalah bagi 16 lagi pertuduhan gagal membayar cukai berkenaan dan minta untuk dibicarakan.

Pada 13 Oktober lalu, Hasmiza didakwa atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST dari tempoh 1 April 2015 hingga 31 Julai lalu berjumlah RM4.2 juta mengikut Seksyen 41(6) Akta GST 2014.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, Jalan Tun Abdul Razak di sini dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Murtazadi sebelum itu menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula 16 lagi pertuduhan yang dikenakan terhadap Hasmiza atas kesalahan gagal membayar cukai berkenaan selepas tertuduh kekal dengan pengakuan tidak bersalah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Farah Ezlin Yusop Khan dan Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Terdahulu, Syed Ahmad dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan denda sebanyak RM4,000 memandangkan anak guamnya membuat pengakuan bersalah, sekali gus dapat menjimatkan masa serta kos mahkamah.

Menurut Syed Ahmad, kes ini membuatkan anak guamnya berada dalam keadaan tertekan walaupun kelihatan gembira di televisyen terutama ketika program Gegar Vaganza 3, baru-baru ini dan ia turut menjejaskan pendapatan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 9:50 AM
DATUK Seri Vida (kiri) ceria selepas keputusan mahkamah, semalam.
DATUK Seri Vida (kiri) ceria selepas keputusan mahkamah, semalam.