Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia menurun 8.6 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu daripada 7.091 juta kepada 6.482 juta.

Penurunan ketara membabitkan pelancong dari Laos yang mencatatkan jumlah 4,336 berbanding 8,617 bagi suku pertama tahun ini berbanding 2014 dan dari segi peratusan, ia merekodkan penurunan 49.7 peratus.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam kenyataan media memaklumkan, bagi tempoh sama, pelancong dari Finland mencatatkan penurunan 30.1 peratus daripada 8,955 kepada 6,258.

"Pelancong dari Sri Lanka juga mencatatkan penurunan 28 peratus daripada 15,042 kepada 10,825. Tempat keempat pula membabitkan pelancong dari China yang merekodkan penurunan 27.1 peratus daripada 520,466 kepada 379,265.

"Pelancong dari Australia pula merekodkan penurunan daripada 156,662 kepada 121,037 bersamaan dengan 22.7 peratus," katanya.

Bagi menangani penurunan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan di Parlimen hari ini.

Ia bagi membincangkan kaedah sesuai menangani penurunan ketibaan pelancong selain mengenai prestasi pelaksanaan 'Malaysia Year of Festivals 2015' (MyFEST 2015).

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Mesyuarat ini juga sebagai landasan untuk membincangkan serta menyelaras segala usaha pembangunan industri pelancongan.

"Antara strategi 'quick wins' bagi menangani penurunan ketibaan pelancong ialah meningkatkan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa serta meningkatkan promosi melalui pemasaran digital," katanya.

Tahun Melawat Malaysia 2014 adalah tahun paling mencabar bagi industri pelancongan negara dengan beberapa siri tragedi seperti kehilangan pesawat MH370 dan pesawat MH17 terhempas .

Bagaimanapun, industri pelancongan negara kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong daripada 25.7 juta pada 2013 kepada 27.4 juta bagi 2014 iaitu pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus.

Pendapatan hasil pelancongan pula mencatatkan pertumbuhan hampir 10 peratus iaitu RM72 bilion pada 2014 berbanding RM65.4 bilion pada 2013.

"Berdasarkan laporan World Tourism Organization, Malaysia mengekalkan kedudukan di tangga ke-13 bagi 2014 daripada segi pendapatan pelancongan antarabangsa.

"Dari segi ketibaan pelancong antarabangsa, Malaysia berada di tangga ke-12 pada 2014," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 1:05 PM